top of page

Firma semikonduktor X-FAB labur RM3 bilion, yakin terhadap Malaysia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
DS Anwar dan Primier Abang Johari melancarkan pelaburan RM3 bilion di Kuching, Sarawak
DS Anwar dan Primier Abang Johari melancarkan pelaburan RM3 bilion di Kuching, Sarawak

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelaburan RM3 bilion oleh X-FAB dalam projek “40K Expansion” di Sarawak sebagai bukti kukuh keyakinan syarikat antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik dalam industri semikonduktor global.


Perdana Menteri berkata kemasukkan pelaburan daripada firma berpangkalan di Jerman itu turut membuka peluang kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang semikonduktor.


"X-FAB membuat keputusan untuk meningkatkan kehadiran di Malaysia dengan pelaburan baharu bernilai RM3 bilion.


"Ini adalah bukti nyata kepercayaan yang diberikan terhadap daya saing negara kita dan persekitaran perniagaan yang stabil," katanya dipetik ketika berucap pada majlis perasmian projek itu di Kuching semalam.


Anwar yang juga Menteri Kewangaan menegaskan kerajaan memberi jaminan penuh untuk terus menyokong pelabur antarabangsa melalui dasar mesra perniagaan serta peningkatan keupayaan tenaga kerja tempatan.


"Kerajaan Malaysia komited memastikan semua pelaburan strategik menerima sokongan yang sewajarnya termasuk dari segi pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, insentif yang kompetitif dan penyediaan infrastruktur bertaraf dunia," ujarnya.


Beliau berkata pelaburan itu juga akan membawa limpahan manfaat besar kepada ekonomi tempatan melalui peluang pekerjaan berkemahiran, pemindahan teknologi serta pengukuhan rantaian bekalan industri semikonduktor negara.


"Dengan pengembangan ini, kita dapat meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak, khususnya dalam sektor teknologi tinggi.


"Kita juga mahu memastikan wujudnya pemindahan teknologi yang memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara," katanya.


Menurut beliau pengembangan itu adalah selari dengan agenda kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab semikonduktor global.


"Malaysia sudah lama menjadi pemain penting dalam industri semikonduktor dunia. Projek ini akan memperkukuh lagi kedudukan kita sebagai destinasi utama dalam rantaian bekalan global," kata Perdana Menteri.


Anwar turut menegaskan bahawa dalam era geopolitik yang semakin mencabar, pelaburan strategik seperti ini menzahirkan betapa pentingnya kestabilan dan dasar yang jelas bagi menjadikan Malaysia rakan kongsi dipercayai.


"Dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu, Malaysia harus mengambil kesempatan dengan menawarkan kestabilan politik, dasar yang konsisten serta ekosistem pelaburan yang kondusif.


"Ini adalah mesej utama yang kita sampaikan kepada pelabur global," jelas beliau.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page