FFC-TMTG Gaza: 9 rakyat Malaysia ditahan tentera Israel dibebaskan
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 1 min read

Kesemua sembilan warganegara Malaysia yang ditahan secara haram oleh tentera rejim Israel ketika dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG), telah dibebaskan semalam.
Kementerian Luar (Wisma Putra) ketika mengesahkan perkara itu berkata, kesemua mereka dibawa keluar dari Israel melalui Penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan telah selamat tiba di Istanbul, Türkiye, pada pukul 2.30 petang waktu tempatan atau 7.30 malam (waktu Malaysia).
"Mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan perubatan di Istanbul sebelum kembali ke Malaysia dalam masa beberapa hari akan datang," kata Wisma Putra dalam kenyataan.
Misi kemanusiaan FFC dan TMTG melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara menaiki sembilan kapal dipintas oleh tentera Israel pada Rabu (8 Oktober) ketika berada kurang daripada 120 batu nautika dari Gaza.
Turut menyertai misi tersebut ialah seorang Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Dr Mohd Afandi Salleh.
Selain beliau, lapan lagi aktivis Malaysia yang dibebaskan ialah ketua delegasi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil dan Dr Maziah Muhammad.
Sementara itu,Wisma Putra merakamkan penghargaan Malaysia yang mendalam kepada Kerajaan Türkiye dan rakan-rakan kerjasama lain atas usaha pembebasan sembilan aktivis terbabit.
"Ia atas fasilitasi dan sokongan penting mereka yang telah membawa kepada pembebasan ini dengan pantas," kata kenyataan sambil menegaskan keselamatan dan kebajikan semua warganegara Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi Kerajaan MADANI.
Comments