Festival Turath Islami 2025: Selangor perkukuh tradisi keilmuan Islam
- Suara Keadilan

- Jun 28
- 2 min read

Seramai 18 tokoh agama, termasuk lima ulama tersohor dunia Islam, bakal menghimpunkan keilmuan mereka di Shah Alam sempena Festival Turath Islami Selangor (FTIS) kali ke-3 yang akan berlangsung dari 12 hingga 19 Julai 2025.
Lima ulama terkemuka tersebut ialah Prof Dr Abdul Fattah Abdul Ghani Al-Awari, Dr Idris al-Fasi al-Fihri, Dr Mohammad Akram an-Nadwi, Dr Majd Makki dan Dr Adi Hidayat.
Dipetik laporan Selangorkini, mereka dijadual mengupas tiga kitab turath utama termasuk karya agung Imam as-Suyuti, Imam al-Ghazali dan Imam an-Nawawi.
"Ribuan peserta dari kalangan umat Islam tempatan dan antarabangsa dijangka memenuhi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk bertalaqqi dengan ilmuan tersebut.
"Dr Adi selaku profesor usul fikah menghuraikan kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali dan Hadis 40 tulisan Imam an-Nawawi," kata Pengarah FTIS Ammar Gazali dipetik.
FTIS yang diperkenalkan sejak 2023 adalah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam mengangkat khazanah keilmuan Islam, khususnya kitab-kitab turath yang menjadi warisan intelektual Islam dan relevan dalam menangani cabaran dunia moden.
Bagi edisi 2025, festival ini bertemakan “Mendalami Khazanah Warisan Islam” dan akan memperkenalkan dua acara baru iaitu program Bual Bicara Turath dan Festival Buku Islami 2025.
Festival kali ini dijangka akan dibuka dengan pembentangan oleh mantan Dekan Kuliah Usuluddin Universiti Al-Azhar, Dr Abdul Fattah Al-Awari, yang akan mengupas naskhah Pengantar Ilmu Tafsir pada 12 Julai.
Edisi kali ini turut akan menghuraikan ujuh surah iaitu al-Fatihah, Yasin, al-Waqi’ah, al-Mulk, ar-Rahman, al-Hujurat dan al-Kahfi menerusi beberapa sesi yang akan diadakan.
Antara sorotan utama sesi pengajian sepanjang Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2025 termasuklah tafsir surah al-Fatihah dan Yasin yang akan disampaikan oleh Dr Idris al-Fasi al-Fihri pada 13 Julai, diikuti dengan rumusan terhadap surah al-Waqi’ah pada 14 Julai.
Sementara itu, Dr Mohammad Akram an-Nadwi dijadual menyampaikan pengajian tafsir bagi surah al-Mulk dan al-Kahfi dalam tiga sesi yang berlangsung pada 15 dan 16 Julai.
Dr Majd Makki pula akan membimbing sesi tafsir surah ar-Rahman pada 17 Julai, manakala Dr Adi Hidayat dari Indonesia dijangka memimpin sesi pengajian surah al-Hujurat serta menyampaikan rumusan penutup pada 18 Julai.
FTIS 2025 dijangka terus mengukuhkan peranan Selangor sebagai hab pengembangan ilmu Islam berteraskan warisan agung para ulama terdahulu.









Comments