Festival Turath Islam: Wadah Selangor bina tamadun berakhlak
- Suara Keadilan

- Jul 19
- 1 min read

Kerajaan Selangor terus berusaha mengangkat pengembangan ilmu dan pembangunan jiwa sebagai teras utama membentuk masyarakat yang berakhlak tinggi, progresif dan berdaya tahan dalam arus kemodenan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keseimbangan antara kemajuan fizikal dan pengisian rohani menjadi keutamaan pentadbiran negeri agar Selangor tidak hanya maju dari segi ekonomi tetapi turut berkembang dari aspek sahsiah dan kefahaman agama.
"Sesebuah tamadun dan kerajaan yang berjaya sentiasa dikaitkan dengan pemerkasaan ilmu, pengukuhan pemikiran serta keseimbangan rohani dan intelek dalam kalangan rakyatnya.
"Kemajuan bukan sekadar bangunan indah atau angka ekonomi, tetapi kemampuan membangunkan masyarakat dengan ilmu dan akal yang sihat," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Buku Islami 2025 sempena Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2025 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Pada acara tersebut, buku Muhaddisat: Wanita Periwayat Hadis karya Syeikh Dr Mohammad Akram Nadwi turut dilancarkan, hasil kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan Media Selangor Sdn Bhd, disempurnakan oleh Pengarah Badan Pemikir Polity, Nurul Izzah Anwar.
Sementara itu Amirudin menjelaskan, FTIS menjadi bukti komitmen pihaknya memastikan keseimbangan kemajuan dan pembangunan jiwa.
Sejak dimulakan pada 2023, FTIS menjadi medan penting memperkukuh kefahaman Islam yang rahmah serta membentuk wacana ilmu berlandaskan tradisi keilmuan Islam yang luas dan mendalam.
"Pendidikan kitab turath dan pendekatan ilmu warisan menjadi benteng penting mengelakkan kecenderungan ekstremisme seperti budaya takfir dan khuluk yang menggugat keharmonian masyarakat.
"Dengan pendidikan agama yang seimbang, kita dapat menolak unsur pemesongan akidah dan mewujudkan masyarakat berilmu, beretika serta tidak mudah terpengaruh dengan ideologi keterlaluan," jelasnya.









Comments