Festival teater pengguna siswa yang diadakan selama seminggu di Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya meningkatkan tahap pendidikan pengguna kepada mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), festival teater itu yang upacara penutupnya diadakan di Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian UPM malam tadi telah mengadakan beberapa acara sejak 22 Oktober lalu.
"Program Festival Teater Pengguna Siswa Universiti Awam 2023 merupakan anjuran bersama KPDN, Pusat Kebudayaan dan Kesenian UPM serta Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM).
"Program ini merupakan satu pertandingan seni teater bertemakan kepenggunaan dengan penekanan kepada pengguna bijak dan kos sara hidup.
"Antara objektif utama program ini adalah bertujuan untuk menyebarluas pendidikan kepenggunaan melalui platform yang menarik serta meningkatkan tahap pendayaupayaan pengguna terutama di kalangan pelajar di IPT," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, malam tadi pada acara kemuncak telah diumumkan pemenang bagi pertandingan teater yang diadakan.
Pada tahun ini sebanyak 17 buah IPT telah menyertai pertandingan ini dan seramai 340 orang pelajar IPT telah mengambil bahagian.
"Pelbagai isu berkaitan kepenggunaan dan kos sara hidup telah diketengahkan di dalam naskhah pementasan teater dan diharap pementasan teater ini merupakan satu pendedahan yang terbaik kepada pelajar IPT dalam memahami hal berkaitan isu-isu kepenggunaan.
"Pihak KPDN komited menyokong usaha dan kerjasama strategik dengan semua pihak termasuklah pihak universiti dalam meningkatkan kesedaran hak pengguna di kalangan pengguna muda.
"Pihak KPDN percaya peranan yang dimainkan oleh pelajar IPT amat signifikan yang mana mereka boleh berperanan sebagai mata dan telinga Kerajaan dalam menyemarakkan dan menyebarluas pendidikan kepenggunaan melalui program advokasi kepenggunaan yang dijalankan," kata kenyataan itu lagi.
Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar telah menyempurnakan Perasmian Majlis Penutup Festival Teater Pengguna Siswa Universiti Awam 2023 yang telah diadakan di Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian UPM itu.
Comments