Feri Pulau Kapas, salah satu feri ikonik di Pulau Pinang yang karam di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth pada awal pagi semalam bakal dilupuskan dengan segera kerana tidak dapat lagi diperbaiki akibat mengalami masalah pereputan serius selain tidak boleh diapungkan.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata sebagai tindakan segera, pihaknya telah menambah tali pengikat feri dan memasang penyekat minyak bagi mencegah tumpahan minyak selepas menerima laporan Feri Pulau Kapas karam pada pukul 3.26 pagi.
"Feri yang ditambat di Dermaga 2, PSAH itu telah mengalami kebocoran dan tidak lagi boleh dibuat pembaikan. Penyiasatan yang dijalankan pada awal pagi tadi mendapati Feri Pulau Kapas karam separuh bahagian sahaja memandangkan air laut masih surut
"SPPP memutuskan untuk melupuskan feri-feri ikonik dengan kadar segera kerana kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilaksanakan lagi disebabkan pereputan yang serius serta feri tidak boleh diapungkan lagi," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu media melaporkan feri ikonik Pulau Pinang itu tenggelam awal pagi semalam dipercayai berpunca daripada tali pengikat putus akibat angin kuat.
Feri yang dibina pada 1981 itu ditamatkan operasinya pada 31 Mei 2020 dan kemudian ditempatkan di PSAH.
Yeoh berkata feri berkenaan diserahkan kembali kepada SPPP oleh Prasarana Malaysia Berhad pada 1 Januari 2021.
Beliau berkata SPPP telah memajak feri ikonik termasuk Feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat berkelayakan untuk dijadikan produk pelancongan negeri pada 2021.
"Namun begitu, hasrat untuk menjadikan Feri Pulau Kapas ini sebagai sebuah restoran terapung tidak dapat direalisasikan memandangkan terdapat ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan dan pajakan telah ditamatkan pada Februari 2023," katanya.
Beliau menjelaskan SPPP juga menerima pelawaan daripada beberapa syarikat untuk membeli dan menyewa feri ikonik namun isu utama adalah berkaitan kos keseluruhan yang tinggi dan cadangan lokasi penempatan yang tidak sesuai.
Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang ditamatkan pada 2020 setelah beroperasi lebih 126 tahun dan digantikan dengan perkhidmatan bot laju untuk membawa penumpang individu dan feri bagi motosikal dan basikal bermula 2021.
Comments