Fenomena Letak Jawatan Beramai ramai: Sabotaj Tidak Menjadi?
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 6 min read

Oleh: Dr Ahmad Safwan Mohamad
ULASAN: Baru-baru ini ada beberapa cabang KEADILAN yang mengalami isu pasca pemilihan parti 2025. Ia berpunca daripada tindakan beberapa AJK cabang yang menang pemilihan, tetapi mereka bukanlah daripada kumpulan (cai) Ketua Cabang yang menang.
Fenomena yang dikatakan “kepala tanpa badan” atau “badan tanpa kepala” itu akhirnya membawa kepada siri protes kononnya pemilihan parti tidak telus dan ada ‘tangan ghaib’ yang memanipulasi sistem pemilihan. Walau bagaimanapun, tuduhan itu tidak dapat dibuktikan oleh sesiapa, kerana audit bebas telahpun dibuat dan didapati tiada manipulasi yang berlaku terhadap sistem pemilihan.
Sesi libat-urus (engagement) telahpun dibuat oleh para pimpinan parti. Malangnya, pihak terbabit tidak mahu ambil endah malah meneruskan naratif untuk memburukkan imej parti di mata umum. Hakikatnya, adakah benar berlaku manipulasi pada sistem?
Sistem hybrid mendepani masa
Pemilihan KEADILAN kali ini buat julung kalinya memperkenalkan sistem hybrid, yang meletakkan 3 prinsip utama demokrasi:
1) Participatory Democracy (Demokrasi yang melibatkan semua yang layak)
2) Proportionate Representation (Demokrasi yang mewakili semua pemegang taruh)
3) Consultation and Consolidation (Demokrasi yang berteraskan musyawarah)
Bagi sesiapa yang mengikuti perbahasan berkenaan “Shura vs Demokrasi”, pasti akan dapat memahami kepentingan 3 prinsip ini. Sistem demokrasi yang berasal dari Barat secara umumnya menekankan bahawa sesiapa sahaja boleh menyuarakan pandangan mereka, tidak kira siapapun mereka.
Ini mengambil manfaat “kebijakan massa” (wisdom of the masses) di mana bagi mereka, semakin banyak yang menyuarakan pandangan mereka, maka makin eloklah kesimpulannya nanti. Sistem ini bagus, namun mereka tidak mengambil kira bahawa, jika majoriti yang menyuarakan suara itu telah diselewengkan atau adalah orang yang tidak layak, maka sudah pasti keputusannya nanti juga akan menyeleweng.
Sebab itulah di dalam syarak, hanya mereka yang benar-benar layak sahaja yang boleh menjadi “saksi”. Saksi di sini boleh didefinisikan sebagai ‘pengundi’. Antara mereka yang tidak layak menjadi saksi adalah mereka yang ‘fasik’. Ini jelas termateri di dalam Quran. Maka, dengan mengambil hujah ini, sesetengah kumpulan telah menolak demokrasi ala-Barat dan mahukan sistem shura dikembalikan.
Namun KEADILAN adalah parti yang progresif, yang diasaskan dengan daya intelektualisme dan aktivisme yang tinggi. Ia tidak akan ambil jalan mudah yang simplistik bagi menangani isu isu yang berbangkit.
Pendekatan holistik KEADILAN
Ketiga-tiga prinsip ini terangkum dalam pemilihan kali ini:

1. “Participatory Democracy” dilaksanakan di peringkat cabang, di mana semua anggota aktif pada tahun itu adalah layak untuk mengundi. Mereka hanya perlu mendaftarkan diri sebagai pengundi menggunakan sistem e-kyc. Ia dibuat secara atas talian.
2. “Proportionate Representation” pula dilaksanakan semasa proses pencalonan. Semua calon Ketua Cabang perlu menamakan perwakilan dengan mengambil kira wakil kaum dan jantina. Kumpulan minoriti juga perlu dicalonkan.
3. “Consultation, Consolidation, & Reconciliation” dilaksanakan melalui kaedah “Perwakilan Biasa Cabang”, di mana semua calon Ketua Cabang diwajibkan menamakan “Perwakilan Biasa Cabang”. Dalam ertikata lain, perwakilan yang akan mengundi pimpinan di peringkat pusat itu diwakili oleh pelbagai pasukan.
Maka, tidak ada alasan kononnya parti mengabaikan suara akar umbi. Malah parti pergi lebih jauh, iaitu mendengar setiap anggota dan setiap kelompok. Bukan itu sahaja, parti juga ‘memaksa’ semua kelompok itu berbincang satu sama lain.
Perlukah cai?
Parti memandang bahawa kewujudan cai telah membantut proses demokrasi sebenar.
Justeru, sejak awal lagi parti telah melarang penggunaan cai di peringkat cabang mahupun di peringkat pusat. Ia tercatat secara jelas dalam Tatacara Pemilihan. Namun apakan daya, ramai yang melanggar peraturan tersebut dan terus berkempen menggunakan cai.
Persoalannya, adakah pengundi benar-benar mengundi menggunakan cai? Jawapan kepada persoalan ini adalah dua: Ya dan Tidak!
Bagaimana pengundi mengundi?
Ada sebahagian pengundi memang mengundi menggunakan cai sepenuhnya. Namun bukan semua pengundi begitu. Sebahagian daripada mereka mengundi menggunakan naluri, emosi, dan psikologi mereka. Sebagai contoh, walaupun mereka dikatakan pengikut seorang calon Ketua Cabang (KC), contohnya saya sendiri, tetapi tidak semestinya dia akan memilih keseluruhan calon yang saya cadangkan. Dalam 10 calon saya, mungkin dia tidak setuju dengan beberapa calon tersebut. Maka dia akan memilih calon yang lain.
Fenomena ini berlaku di beberapa tempat. Apabila diselidiki, rupa-rupanya calon KC tersebut telah dikhianati oleh beberapa calon tajaannya, lalu mereka mengundi calon KC yang lain. Akibatnya, undi KC tersebut tidak mencukupi dan berbeza daripada undi yang diperolehi oleh AJK tajaannya.
Di salah satu cabang yang saya cuba fahami trend mengundinya, calon AJK sendiri mendedahkan bahawa dia menyuruh pengundinya mengundi calon KC yang lain kerana ada beberapa isu yang dia tidak puas hati. Maka keputusan yang keluar akhirnya menjadi “badan tanpa kepala”.
Tangkap layar dan SD
Bagi membuktikan jumlah sokongan yang diperolehinya, ramai calon KC yang meminta pengundi mereka membuat tangkap layar, rakaman layar, malah ada juga yang buat Akuan Bersumpah (SD). Kaedah ini nampaknya agak meyakinkan. Saya sendiri menggunakan kaedah tangkap layar.
Setelah saya gunakan kaedah ini, saya dapati masih ada ruang untuk pengundi saya menipu. Selalunya, tangkap layar dibuat sebelum mereka menghantar undian mereka, kerana hanya pada ketika itulah semua nama calon yang ditanda akan muncul.
Mereka akan buat tangkap layar, namun selepas itu, mereka boleh tukar pilihan mereka sebelum mereka hantar. Jadi, saya fikir mereka undi saya, sebaliknya mereka telah undi calon yang lain. Itulah yang berlaku di beberapa cabang. Mereka fikir pengundi mereka setia.
Akuan Bersumpah (SD)? Lagi tak boleh pakai. Sesiapa sahaja boleh buat SD dan tandatangan. Namun apa yang berlaku di sebaliknya, tiada sesiapa yang tahu. Masih ingat kisah PM yang dilantik menggunakan SD?
Rakaman layar
Satu lagi kaedah yang mungkin lebih tepat, adalah rakaman layar. Mereka merakam proses pengundian mereka dari awal hinggalah tamat pengundian. Namun begitu, tak ramai yang menggunakan kaedah ini, kerana ia akan memakan ruang yang besar pada telefon mereka. Akibatnya, ramai yang abaikan kaedah pembuktian ini.
Audit bebas sahkan keutuhan sistem JPP
Disebabkan ketidakpuasan hati tersebut maka ada yang meminta JPP membuka kertas undi bagi mendedahkan siapakah yang mengundi mereka dan lawan mereka. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh dibenarkan kerana ia melanggar prinsip kerahsiaan. Apalagi sekiranya nama pengundi terdedah, maka keselamatan mereka mungkin akan terancam.
Namun begitu, parti telahpun menjalankan audit terhadap sistem pemilihan tersebut supaya tiada pencerobohan terhadap sistem berlaku. Juru audit yang dilantik adalah juruaudit antarabangsa yang berpengkalan di China, supaya bebas daripada sebarang conflict of interest. Dalam kesimpulan akhirnya, mereka mengesahkan bahawa sistem adalah intact dan tiada bukti pencerobohan atau manipulasi tangan ghaib.
Kenapa pahat masih berbunyi?
Jawapan ringkasnya adalah dua: (1) tidak mendapat maklumat yang tepat, atau (2) sengaja mahu sabotaj parti.
Saya ada menghubungi beberapa pimpinan cabang yang terlibat dengan fenomena “tiada badan” ataupun “tiada kepala”. Sebahagiannya tidak mahu bekerjasama langsung dengan pimpinan yang menang. Namun ada juga yang berjiwa besar mahu bekerjasama demi kesinambungan perjuangan parti.
Kebanyakan yang tidak mahu bekerjasama merasakan bahawa mereka telah ditipu atau dikhianati. Mereka menganggap bahawa kemenangan mereka telahpun dirampas. Bagi kategori ini, bolehlah dikatakan bahawa mereka (1) tidak mendapat maklumat yang tepat.
Namun ada juga yang secara sengaja mahu melangkah lebih jauh, untuk menggagalkan perjalanan parti di cabang tersebut. Mereka berpakat untuk membubarkan jawatankuasa melalui perletakan jawatan beramai-ramai.
Mereka beranggapan bahawa sekiranya perletakan jawatan beramai-ramai dibuat, maka terbubarlah cabang tersebut. Rujukan mereka adalah pada Fasal 37.12. Malangnya, mereka telah gagal memahami perlembagaan parti dengan baik.
Sudah letak jawatan, cabang tidak terbubar
Ternyata usaha mereka untuk mengkucar-kacirkan parti telah gagal. Mereka telah mendapat nasihat yang salah daripada beberapa pengamal perundangan yang mungkin terlepas pandang beberapa aspek perlembagaan.
Setiausaha Agung telah menyatakan bahawa cabang tersebut tidak terbubar. Kenapa? Mari kita baca perlembagaan dengan betul. Alangkah ruginya mereka yang berniat jahat mahu merosakkan parti tetapi akhirnya nama mereka sendirilah yang rosak.
Semangat Perlembagaan Parti adalah untuk mempertahankan keutuhan parti daripada sebarang anasir jahat. Maka sebab itulah perlembagaan akan menyebelahi parti, berbanding kepentingan beberapa kelompok yang mahu mengambil kesempatan.
Sebagai contoh, Fasal 37.12 menyatakan bahawa:
“Jika 2/3 daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Cabang berhenti serentak, maka Majlis Pimpinan Pusat bolehlah menggunakan kuasanya menurut dalam Fasal 32.4.”
Fasal 32.4 pula menyatakan:
“Majlis Pimpinan Pusat berkuasa menggantung atau membubarkan Cabang dan/atau Jawatankuasa masing-masing jika perlu, dan mengambilalih pengurusan Cabang tersebut serta menentukan penubuhan semula dan/atau pemilihan Jawatankuasa
yang baru.
Bermakna, kalaupun ada kelompok tertentu mahu melakukan sabotaj kepada cabangnya, mereka tetap akan tertakluk pada keputusan MPP. Mereka bukan secara automatik boleh menguasai cabang tersebut.
Ada yang mengatakan bahawa Fasal 37.12 menyatakan, 2/3 daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Cabang itu “hanyalah mereka yang dipilih, tidak termasuk mereka yang dilantik.” Ternyata di dalam perlembagaan tidak pula mengatakan begitu. Kenapa?
Kerana Perlembagaan memberikan ruang itu untuk diputuskan oleh MPP, sepertimana termaktub pada Fasal 49.1:
“Jika berbangkit sebarang perselisihan di atas tafsiran Perlembagaan ini atau Peraturan Tetap bagi Kongres Nasional parti yang dibuat di bawah kuatkuasanya, maka tafsiran yang diberikan oleh Majlis Pimpinan Pusat adalah muktamad.”
Ternyata, tafsiran MPP adalah “2/3 daripada keseluruhan Ahli Jawatankuasa Cabang, yang dipilih dan yang dilantik,” sepertimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung.
Keputusan itu tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah, kerana Fasal 44.1 menyatakan bahawa:
“Tiada seorang anggota yang boleh membawa apa-apa perkara Parti ke mana-mana mahkamah. Sekiranya berbuat demikian, maka keanggotaannya tergugur secara otomatik.
Apakah pilihan yang ada?
Kita masih ada satu saja pilihan. Pilihan kita adalah untuk berjiwa besar dan kembali rapatkan saf perjuangan. Kita perlu kembali kepada niat sebenar kita menyertai parti, iaitu untuk berjuang mengangkat martabat dan darjat insan. Ketika kita mula berjuang dahulu, kita tidak berbicara tentang pangkat dan jawatan. Kita hanya mahu berjuang bersamasama.
Kini kita berada di persimpangan kerana pertembungan yang berlaku, mengakibatkan kita terluka dan bermusuhan sesama sendiri. Bukan itu tujuan perjuangan ini.
Jalan di depan banyak ranjau dan duri. Masih banyak luka yang perlu kita alami. Kita perlu segera sembuh dan tempuh jalan yang penuh ranjau ini bersama.
Kita telah melangkah terlalu jauh untuk berpatah balik. Marilah kita buktikan bahawa KEADILAN bukan sekadar nama sebuah parti, tetapi nilai yang kita genggam, perjuangan yang kita warisi, dan janji yang harus kita lunaskan.
Penulis merupakan Ketua KEADILAN Cabang Gerik, Perak.
Betul ker ni? Lain macam aje dakwaan kamu ni..🤭