top of page

FELDA diurus secara amanah, jamin kedaulatan ekonomi peneroka

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 3
  • 2 min read

PM menyampaikan anugerah tokoh peneroka sambil diperhatikan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri) dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahhmad Zahid Hamidi (kiri sekali). Foto: FB Anwar
PM menyampaikan anugerah tokoh peneroka sambil diperhatikan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri) dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahhmad Zahid Hamidi (kiri sekali). Foto: FB Anwar

Institusi FELDA yang sering dikritik akibat pembaziran dan salah urus pada era Pakatan Harapan bergelar pembangkang kini telah melalui reformasi pentadbiran yang mengkagumkan dan mampu memperbaiki kewangannya dengan cepat.


Menyambut perkembangan cemerlang itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji reformasi FELDA yang berjaya menguasai semula saham anak syarikat FGV Holdings Berhad yang dianggap merugikan para peneroka ketika penyenaraiannya pada 2012 lalu.


"FELDA kini menguasai lebih 90 peratus pegangan saham FGV Holdings Berhad, dan bermula 28 Ogos 2025 FGV akan dinyahsenarai secara rasmi daripada Bursa Malaysia (menjadi milik peneroka semula).


"Ini bukan sekadar kejayaan korporat, tetapi kemenangan moral dan simbol kedaulatan ekonomi untuk peneroka FELDA.


"Saya tegaskan bahawa apabila sesebuah institusi seperti FELDA diurus dengan amanah dan berwawasan, rakyat akan menerima manfaat secara langsung, bukan sahaja dalam bentuk peluang ekonomi dan kebajikan, tetapi juga melalui arus kemajuan yang digerakkan oleh teknologi, inovasi dan nilai integriti," katanya dalam muat naik di Facebook.


Catatan itu usai PM hadir menyempurnakan Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) di MITEC, Kuala Lumpur yang menerima sambutan luar biasa daripada warga FELDA dan seluruh lapisan masyarakat, semalam.


Katanya, FELDA selepas ini akan menjadi pencapaian yang membanggakan generasi peneroka dan menjadi model penstrukturan ekonomi luar bandar dan penjagaan kebajikan rakyat yang paling berjaya di Malaysia.


"FELDA melakar kejayaan membanggakan dalam memperkasakan rakyat luar bandar, antaranya, pembangunan 13 buah Pusat Hemodialisis FELDA, dengan 10 pusat telah siap dibina, mampu menampung sehingga 36 pesakit setiap satu-satu (merupakan) langkah besar dalam menjaga kesejahteraan kesihatan warga peneroka," katanya lagi.


Tegas Anwar, FELDA akan menjadi cerminan wajah Malaysia MADANI dalam pembangunan luar bandar, memperkukuh ekonomi negara, dan menjamin masa depan rakyat agar lebih bermaruah dan berdaya tahan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page