top of page

FELDA bangkit semula, Anwar umum langkah pemulihan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar menjanjikan langkah pemulihan yang bakal membebaskan FELDA dari keberhutangan
DS Anwar menjanjikan langkah pemulihan yang bakal membebaskan FELDA dari keberhutangan

Kerajaan mengumumkan langkah pemulihan menyeluruh FELDA bagi mengembalikan manfaat ekonomi dan kebajikan kepada warga peneroka, walaupun berdepan beban membayar hampir RM1 bilion setahun bagi melangsaikan hutang yang diwarisi daripada kelemahan pengurusan terdahulu.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu meliputi pemulihan model ekonomi FELDA melalui Koperasi Permodalan FELDA (KPF), pengukuhan kebajikan petugas, peluasan kemudahan digital serta penambahbaikan sektor pendidikan dan kesihatan di kawasan tanah rancangan.


"Saya sebut setiap tahun untuk 10 tahun ini kita kena belanja, kerajaan terpaksa keluarkan hampir RM1 bilion satu tahun. RM980 juta. Untuk apa? Bayar hutang. Hutang siapa? Hutang FELDA.


"Apakah salah peneroka? Tidak. Salah pengurusan dan orang-orang yang diberi amanah, salah guna," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan agar kesilapan tersebut tidak berulang dengan memastikan ia menjadi pengajaran bagi memastikan FELDA diurus secara telus dan tidak membuat keputusan pelaburan yang akhirnya membebankan peneroka.


"Jangan ulang kesilapan itu, kerana bila akhirnya yang terbeban yang terpaksa bayar, kita," katanya.


"Sebab itu dalam lembaga sekarang kena teratur betul. Ada lembaga, ada jawatankuasa pelaburan yang berasingan supaya dapat mengambil keputusan yang lebih telus, memberi manfaat kepada FELDA dan FELDA maknanya peneroka."


Warga FELDA teruja berswafoto dengan PM Anwar. Foto: PMO
Warga FELDA teruja berswafoto dengan PM Anwar. Foto: PMO

Dalam usaha mengembalikan manfaat ekonomi kepada warga FELDA, Anwar mengumumkan kerajaan akan mengembalikan semula model penjualan minyak sawit mentah seperti sebelum penyenaraian FGV.


Beliau berkata perubahan model itu sebelum ini memberi kesan kepada keuntungan kilang sawit dan menjejaskan kepentingan 28 peratus ekuiti milik Koperasi Permodalan FELDA (KPF).


"Bagi menoktahkan kegelisahan ini, dengan ini kita buat keputusan untuk kembalikan semula model penjualan minyak sawit mentah kepada sistem asal sebelum penyenaraian FGV.


"Dengan ini akan menjamin harga dan keuntungan yang lebih baik. Ini akan memberi manfaat tambahan pendapatan keuntungan kepada seluruh warga FELDA sebanyak RM42 juta," ujarnya.


Selain manfaat kepada peneroka, kerajaan turut memberi perhatian kepada kebajikan petugas FELDA apabila meluluskan peruntukan RM450 juta bagi membaik pulih dan membina rumah baharu untuk petugas agensi tanah rancangan itu.


Anwar berkata sumbangan petugas FELDA juga penting dalam memastikan pembangunan tanah rancangan terus berjalan.


Dalam bidang teknologi, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM15.85 juta bagi memperkukuh kemudahan digital dan kecerdasan buatan (AI) di 317 rancangan FELDA melalui kerjasama Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.


Anwar berkata langkah itu bertujuan memastikan anak-anak muda FELDA tidak tercicir dalam arus pembangunan teknologi baharu.


"Kita mahu mereka bersama dalam usaha infrastruktur dan generasi AI, digital sekarang ini."


Bagi memastikan kemudahan pendidikan di kawasan FELDA terus diperkasa, kerajaan turut menyediakan RM10 juta untuk membaik pulih sekolah-sekolah di kawasan tanah rancangan.


Peruntukan itu melibatkan 269 sekolah rendah dan 101 sekolah menengah di seluruh FELDA.


Dalam aspek kesihatan komuniti pula, kerajaan meluluskan tambahan RM3 juta bagi memperkukuh Skuad MAYA FELDA yang kini mempunyai 1,556 sukarelawan dalam kalangan peneroka.


Anwar berkata semua langkah berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan FELDA kembali kukuh melalui pengurusan berintegriti dan manfaat yang sampai terus kepada warga peneroka.


"...kita telah menunjukkan bagaimana FELDA diurus dengan baik dan kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk membela nasib peneroka


"Beberapa perubahan besar telah dilakukan walaupun menelan belanja lebih besar, tetapi Insya-Allah saya bersama rakan-rakan akan berikhtiar sedaya upaya...melakukan perubahan ke arah kebaikan...," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page