Fasa reformasi kedua: Memperbetulkan kesilapan pentadbiran terdahulu
- Akmal Manaf

- 9 minutes ago
- 2 min read

Malaysia memasuki fasa kedua reformasi yang memberi tumpuan kepada usaha membetulkan kelemahan dan kerosakan institusi yang berlaku di bawah pentadbiran terdahulu.
Ketua Penerangan KEADILAN Kedah, Datuk Romli Ishak (gambar) berkata selepas tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI berlangsung, beberapa kejayaan telah dilihat seperti politik yang stabil, ekonomi kukuh, membantu rakyat menangani kemiskinan, mengekang inflasi dan mengurangkan ketirisan.
"Sekarang ini kita masuk fasa kedua reformasi. Apabila kita menjadi kerajaan, kita telah diberikan ruang seluas-luasnya untuk melihat apa masalah yang kita warisi.
"Alhamdulillah, setelah tiga tahun kita menjadi kerajaan, kita berjaya menstabilkan politik, meningkatkan keupayaan ekonomi negara, memperkenalkan beberapa program untuk membantu rakyat membasmi kemiskinan, mengekang inflasi dan meningkatkan tabungan negara dengan mengekang ketirisan.
"Apabila semua ini telah mula diselesaikan, sekarang bermula satu fasa untuk kita memperbetulkan dan mencari di mana kesilapan dan kesalahan yang berlaku oleh pentadbiran terdahulu," katanya menerusi satu siaran video.
Romli menegaskan, kesilapan yang berlaku pada masa lalu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang pertanggungjawaban, khususnya apabila ia membabitkan institusi yang mempunyai kepentingan besar kepada rakyat.
Ujarnya, isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), FELDA, FELCRA dan MARA antara perkara yang perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap sebarang kelemahan atau salah laku dikenal pasti.
"Kegagalan TH, FELDA, FELCRA, MARA dan banyak lagi institusi lain mesti ada pihak yang bertanggungjawab. Maknanya, tidak boleh hanya berlepas tangan.
"Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (juga) perlu dilihat secara lebih menyeluruh, khususnya melalui pandangan golongan profesional yang mampu menilai laporan berkenaan berdasarkan fakta dan implikasi terhadap institusi tersebut.
"Saya tidak mahu mengolah apa yang dibincangkan oleh pihak politik, tetapi kita lebih suka melihat bagaimana golongan profesional melihat laporan RCI ini.
"Apa yang lebih penting bagi rakyat ialah mengetahui betapa rosaknya sebuah institusi yang menjadi kebanggaan umat Islam akhirnya dikhianati sedemikian rupa," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memetik kenyataan Pemangku Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang mempersoalkan pendirian sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam namun dikatakan enggan berbahas mengenai isu berkenaan.
"Alasannya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar) tidak hadir ke Parlimen. Isunya bukan kita hendak berbahas mengenai Perdana Menteri, tetapi kita hendak membahaskan isu salah laku dalam Tabung Haji.
"Ini adalah soal tanggungjawab semua Ahli Parlimen untuk berbahas dan berbincang, mencari jalan keluar serta mengenal pasti siapa yang mengkhianatinya sehingga akhirnya merosakkan Tabung Haji," ujar beliau yang pernah menjadi Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri kepada Datuk Dr Wan Azizah Ismail semasa kerajaan Pakatan Harapan 1.0 lalu.




Comments