Fasa pertama projek laluan sehala di pekan Tapah siap
- Suara Keadilan
- May 2
- 1 min read

Kerajaan madani melaksanakan janji Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning dengan menyiapkan fasa pertama projek penyuraian trafik laluan sehala di pekan Tapah, Perak melibatkan peruntukan RM2.2 juta daripada Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang meninjau lokasi tapak itu berkata, keadaan trafik di kawasan berkenaan telah bergerak lancar berbanding sebelum ini dengan jalan dua hala.
"Kami (KKR) datang untuk melawat tapak yang baru sahaja siap ini untuk menyuraikan trafik, untuk memastikan pengguna jalan raya kita lebih selesa dan selamat.
"Saya sendiri sudah lalui tadi bersama JD (Jurutera Daerah) dalam kereta beliau.
"Sekarang trafik agak lancar dan sebelum turun ke tapak, kami ada bermesyuarat di pejabat JKR (Jabatan Kerja Raya) daerah dan banyak dibincangkan (kerja-kerja) akan datang untuk ditambah baik," katanya dipetik.
Turut hadir dalam tinjauan itu Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang Choong Shin Heng dan ADUN Ayer Kuning yang baharu menang minggu lalu, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan kerja menambah baik laluan sehala di pekan Tapah itu dimulakan pada 7 April lalu dan dijangka selesai dalam tempoh tiga minggu.
Comments