Farhash nafi dakwaan liar terkait dana berbilion ringgit di Turkiye, Afrika
- Akmal Manaf

- 52 minutes ago
- 2 min read

Ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang mendakwa beliau terlibat dalam kegiatan mencuri dan pengubahan wang haram bernilai berbilion ringgit di luar negara.
Beliau berkata, penafian berkenaan dibuat susulan laporan beberapa media yang menyiar dan mengulangi dakwaan yang amat serius terhadap dirinya, berhubung kegiatan berkenaan di luar negara antaranya di Turkiye dan Afrika.
"Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut. Dakwaan-dakwaan ini adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah yang jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi serta integriti saya, selain memberi kesan negatif kepada kehidupan peribadi dan urusan perniagaan saya.
"Untuk penjelasan, saya bukan seorang warganegara Turkiye, tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram seperti yang didakwa, dan tidak mempunyai sebarang akaun bank di Turkiye.
"Saya hanyalah seorang ahli perniagaan dan tidak terlibat dengan bidang politik sekarang.
"Saya langsung tidak mengetahui mengapa saya diheret ke dalam perkara ini, melainkan bahawa individu-individu tersebut mempunyai niat sebaliknya untuk meraih kepentingan politik," katanya dalam satu kenyataan penafian dikeluarkan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Farhash menegaskan beliau memandang serius penyebaran rakaman video tersebut, yang disebarkan dengan niat jahat oleh pihak-pihak tertentu.
Tindakan sedemikian ujarnya bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi melanggar undang-undang.
"Sehubungan itu, saya telah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
"Saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan ini dan saya telah mengarahkan peguam untuk mengambil dan memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran fitnah ini demi melindungi nama baik serta kepentingan saya.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan, dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus," katanya lagi.




Comments