Fakulti AI di MMU mercu tanda Malaysia capai kecemerlangan digital
- Suara Keadilan

- Aug 19
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan harapan agar penubuhan Fakulti Kejuruteraan dan Kecerdasan Buatan (FAIE) Universiti Multimedia (MMU) menjadi mercu tanda penting dalam perjalanan Malaysia menuju kecemerlangan digital dan teknologi.
Perdana Menteri berkata langkah itu diyakini mampu memacu negara untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta pemangkin inovasi yang meningkatkan produktiviti, pertumbuhan ekonomi dan daya saing global.
"Saya berharap penubuhan Fakulti Kejuruteraan dan Kecerdasan Buatan (FAIE) ini akan menjadi satu mercu tanda penting dalam perjalanan Malaysia menuju kecemerlangan digital dan teknologi.
"Saya yakin fakulti ini akan memacu kemajuan Malaysia untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam bidang AI, sekali gus menjadi pemangkin inovasi yang meningkatkan produktiviti, pertumbuhan ekonomi dan daya saing di peringkat global," katanya ketika berucap merasmikan fakulti tersebut di Cyberjaya, Sepang, Selangor semalam.
Perdana Menteri menjelaskan keunikan FAIE berbanding fakulti AI di universiti lain terletak pada penekanan kepada kecerdasan buatan gunaan yang diajar secara praktikal dan bukan semata-mata teori.
"Inilah nilai tambah dan unik yang ditawarkan oleh FAIE," katanya.
Beliau berkata penubuhan fakulti itu selari dengan agenda Kerajaan MADANI untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan digital yang berdaya tahan, tangkas dan berkemahiran.
"Penekanan FAIE terhadap kecerdasan buatan gunaan adalah selari dengan agenda kerajaan MADANI untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan digital yang berdaya tahan, tangkas, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan," katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengalu-alukan langkah kepada Telekom Malaysia dan MMU atas visi strategik menerajui bidang berkenaan serta menjadikan usaha itu penanda aras untuk dicontohi pihak lain.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas komitmen memacu kemajuan digital negara melalui kerjasama menubuhkan 13 makmal AI bertaraf dunia dikenali sebagai AI Transformation Centre (AIX) dengan pelaburan bernilai RM37 juta.
"AIX adalah hab nasional untuk AI yang melibatkan pelaburan bersama MCMC dan MMU bernilai RM37 juta.
"Ia menggabungkan dunia akademia, industri dan kerajaan dalam satu pakatan strategik bagi memacu inovasi, membina keupayaan termaju serta memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja negara.
"Penyatuan strategik ini memastikan Malaysia bukan sahaja seiring dengan perubahan digital global, malah memimpin dengan tujuan dan impak yang jelas," katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa kemajuan teknologi mestilah berpaksikan manfaat kepada rakyat, bukan sekadar kejayaan teknikal semata-mata.
"Kita tidak boleh berbicara tentang kemajuan jika ia hanya menguntungkan segelintir pihak. Usahlah kita mendabik dada meraikan kejayaan teknologi jika ia gagal menyelesaikan masalah sebenar di peringkat akar umbi," katanya.
Perdana Menteri turut meletakkan harapan agar fakulti baharu itu menjadi landasan bukan sahaja untuk melahirkan pakar dalam bidang AI, malah pemimpin yang beretika, penyelidik berprinsip dan warganegara bertanggungjawab.
"Dengan komitmen yang ditunjukkan pada hari ini, saya yakin dan percaya kepada potensi anak muda kita untuk menguasai bidang ini.
"Saya berharap fakulti baharu ini akan menjadi landasan bukan sahaja untuk melahirkan pakar dalam bidang AI, tetapi juga untuk membentuk pemimpin yang beretika, penyelidik yang berprinsip dan warganegara yang bertanggungjawab pada masa depan," katanya lagi.









Comments