top of page

Faktor usia: Rakyat usah ambil peduli kenyataan Tun M - Aktivis politik

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jan 16, 2024
2 min read


Oleh: Abdullah Zaid


Kenyataan Dr Mahathir yang membangkitkan kemarahan kaum India sememangnya menjengkelkan dan tidak patut dikeluarkan oleh seorang bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.


Bagi aktivis politik Yuslaini Azmi, orang ramai disaran untuk mengabaikan ucapan veteran politik itu memandangkan faktor usia yang mungkin menjadi punca beliau mengeluarkan kenyataan yang aneh dan mengguris hati.


"Saya sedar ramai yang marah berkenaan hal ini, tetapi jika dilihat semenjak Dr Mahathir aktif dalam dunia politik kenyataannya bukan seperti beliau 20 tahun yang lepas (politik harmoni antara kaum). Saya hanya melihat (Tun M) sebagai orang tua yang inginkan perhatian pada ketika ini," kata beliau dalam satu kenyataan.


Justeru, Yuslaini menyarankan agar orang terdekat atau keluarga rapat menasihatkan Dr Mahathir untuk tidak terus mengeluarkan kenyataan provokatif yang boleh menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.


Menurutnya, adalah sesuatu yang aneh untuk bekas Perdana Menteri yang sudah 2 kali menjawat jawatan berkenaan masih sibuk mencampuri urusan negara sedangkan bekas Perdana Menteri yang lain berehat dengan tenang selepas persaraan mereka.


Bahkan katanya, Dr Mahathir kelihatan seperti takut dengan bayang-bayang sendiri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran Malaysia


"Nasihat saya pada Dr Mahathir sudah-sudahlah melakukan sesuatu demi kepentingan peribadi, bersara sahaja dengan aman seperti mana bekas Perdana Menteri yang lain.


"Tidak perlu menimbulkan kegusaran dan mengganggu ketenteraman awam lagi, sudah elok ramai mengingati anda sebagai negarawan terulung. Hari ini (dengan politik perkauman) mungkin ramai merasakan anda bekas PM paling hina dalam sejarah," ujarnya lagi.


Terdahulu, Dr Mahathir dalam satu sesi temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV yang berpangkalan di India, Thanti TV dilapor mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.


Dakwanya, seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak menganggap Malaysia sebagai negara sendiri, tetapi orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, sebaliknya masih bercakap Tamil.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page