Faktor Covid 19: KEADILAN tidak letak calon PRK DUN Chini




Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tidak akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada Julai ini.


Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata wabak maut Covid 19 yang masih bergejala dan belum ditangani sepenuhnya amat tidak sesuai untuk petugas parti, calon dan rakyat terlibat dalam proses PRK.


"Umum sedia maklum masalah Covid-19 belum ditangani sepenuhnya. Usaha gigih Kementerian Kesihatan dan petugas barisan hadapan telah berupaya mengekang penularan yang lebih meluas.


"(Namun) pada masa sama, dalam konteks kebiasaan baharu (new normal) (walaupun) prosedur operasi standard (SOP) sedang dirangka berhubung perjalanan pilihan raya, aspek keselamatan dan kesihatan para pengundi masih menjadi satu kerisauan.


"Maka, mengambil kira perkara-perkara di atas, KEADILAN dan Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bersetuju bahawa KEADILAN tidak akan meletakkan calon bagi PRK DUN Chini," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Saifuddin, aspek keselamatan dan kesihatan para petugas parti menjadi fokus utama KEADILAN membuat keputusan tidak menyertai PRK tersebut.


"KEADILAN berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.


"Contohnya, larangan lebih dari 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara-perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihan raya," katanya lagi.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Chini berlangsung pada 4 Julai ini. Proses penamaan calon pada 20 Jun dan pengundian awal pada 30 Jun.


PRK DUN Chini diadakan kerana kematian wakil rakyat BN, allahyarham Abu Bakar Harun pada Mei lalu.


Untuk rekod, KEADILAN pernah menang di DUN Chini pada Pilihan Raya Umum 1999. Calon KEADILAN ketika itu Mohd Jafri Abd Rashid menang dengan majorti 5 undi. Beliau mendapat 4,060 undi sementara calon BN, Datuk Wan Mohamad Razali Wan Mahussin mendapat 4,055 undi.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio