top of page

Fakharuddin tawar kepimpinan muda, idea baharu ekonomi di DUN Pasir Raja

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read
Fakharuddin pada hari penamaan calon diiringi penyokong dan keluarga yakin sokongan anak muda
Fakharuddin pada hari penamaan calon diiringi penyokong dan keluarga yakin sokongan anak muda

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Pasir Raja, Fakharuddin Moslim bertekad membawa perubahan di kawasan itu dengan menawarkan kepimpinan muda, idea progresif dan politik khidmat yang berpaksikan kebajikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.


Beliau berkata, proses penamaan calon yang selesai pada Sabtu lalu menandakan permulaan amanah besar yang dipikulnya untuk mewakili rakyat Pasir Raja sebagai calon PH.


"Satu amanah yang besar telah diletakkan di atas bahu saya. Proses penamaan calon bagi DUN N35 Pasir Raja telah selesai dan saya dengan penuh tawaduk serta tekad yang jitu, bersedia berkhidmat sebagai calon Pakatan Harapan untuk membawa perubahan buat seluruh warga Pasir Raja," katanya dalam satu kenyataan.


Fakharuddin yang akan bertanding sebagai calon nombor tiga berkata, beliau sedar bakal berdepan cabaran besar termasuk menentang penyandang yang mempunyai pengaruh di kawasan berkenaan.


Namun, menurut Ketua Penerangan KEADILAN Johor itu, DUN Pasir Raja tidak boleh terus ketinggalan berbanding daerah lain di Johor dan memerlukan nafas baharu untuk bergerak ke hadapan.


"Status quo yang lama tidak boleh kita biarkan terus membelenggu masa depan kita kerana Pasir Raja tidak boleh lagi sekadar menjadi penonton kepada kemajuan daerah-daerah lain di Johor," katanya.


Beliau berkata, kepimpinan muda perlu diberi peluang memandangkan lebih separuh daripada pengundi di Pasir Raja terdiri daripada golongan muda.


"Saya percaya sudah tiba masanya kepimpinan muda diangkat demi membawa tenaga baharu serta idea segar lebih progresif. Apatah lagi, statistik menunjukkan lebih separuh, atau lebih spesifiknya 54 peratus daripada keseluruhan pengundi di sini adalah pengundi muda," ujarnya.


Menurut Fakharuddin, agenda perubahan yang dibawanya merangkumi usaha memperkukuh ekonomi, meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti serta menyediakan kemudahan awam yang lebih baik di kawasan bandar, luar bandar dan tanah rancangan Felda.


Beliau turut berjanji untuk membawa suara anak muda ke peringkat lebih tinggi serta memperjuangkan pembangunan yang lebih seimbang bagi merapatkan jurang pendapatan antara masyarakat luar bandar dan bandar.


"Menjadi tekad utama saya untuk membawa suara anak muda ke peringkat tertinggi, memperjuangkan ekonomi saksama bagi merapatkan jurang pendapatan luar bandar, serta mengamalkan politik khidmat yang berpaksikan kebajikan rakyat seluruhnya," katanya.


Beliau turut menyeru pengundi Pasir Raja, termasuk mereka yang berada di luar kawasan, supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian bagi menentukan masa depan kawasan itu.


"Masa depan Pasir Raja tidak ditentukan oleh nama besar atau pengaruh lama, tetapi ditentukan oleh keberanian kita semua di kertas undi nanti," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page