Faizal Azumu hilang kepercayaan sebagai Menteri Besar Perak apabila majoriti Ahli DUN Perak menolak usul undi percaya terhadap beliau.
Usul itu dibawa oleh ADUN Pengkalan Baharu dari Umno, Abd Manap Hashim yang mahu sokongan terhadap Faizal di DUN.
Namun, ADUN Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari meminta undi belah bahagian diadakan dan usul itu diterima oleh speaker, Mohamad Zahir Abdul Khalid selepas 10 ADUN bangun memberi sokongan.
Speaker kemudian meminta semua ADUN untuk mengundi menerusi kertas undi sama ada bersetuju, tidak bersetuju atau berkecuali.
Hasilnya, speaker mengumumkan bahawa Faizal hanya mendapat sokongan 10 ADUN sementara 48 ADUN lagi menolak usul undi percaya dan 1 ADUN mengambil kedudukan berkecuali.
Ini bermakna, Faizal kemungkinan besar hanya mendapat sokongan dari 5 ADUN Bersatu termasuk dirinya, 3 ADUN Pas, 1 ADUN Gerakan dan 1 ADUN Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN).
PH mempunyai 24 ADUN di Perak dan sudah tentu kesemuanya menolak usul undi percaya terhadap Faizal, selepas Bersatu bertindak meninggalkan PH.
Jika seorang ADUN Umno mengambil sikap berkecuali, ini bermakna sejumlah 24 ADUN Umno menolak Faizal.
Ini juga bermakna Umno menolak Bersatu dan sudah mempunyai calon untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.
Ini pertama kali Umno menunjukkan penolakan terhadap Bersatu di peringkat kerajaan secara rasmi, selepas beberapa kali pemimpinnya melontarkan kritikan terhadap Bersatu.
Ini mungkin akan memberi kesan kepada hubungan antara Umno dan Bersatu dalam kerajaan PN.
Comments