Fahmi umum tiga fokus utama Kementerian Komunikasi tahun ini
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menetapkan tiga fokus utama kementerian itu tahun ini iaitu pengukuhan infrastruktur digital, pembangunan industri kreatif, dan pemantapan maklumat serta komunikasi kerajaan.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, inisiatif ini bertujuan memastikan dasar dan pencapaian kerajaan dilaksanakan berkesan serta difahami dan dirasai rakyat berkesan serta difahami dan dirasai rakyat.
"Fokus pertama melibatkan pengukuhan infrastruktur digital termasuk pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara Fasa Dua atau JENDELA 2, penyempurnaan projek Point of Presence (PoP) Fasa 2 serta pemasangan kemudahan WiFi di sekolah, universiti, kolej komuniti dan politeknik yang telah menerima kemudahan PoP.
"Perancangan dasar rangkaian digital termasuk pembangunan kabel dasar laut turut diberi perhatian bagi memastikan sistem rangkaian negara berada pada landasan yang mampan dan teratur," katanya dipetik.
Fahmi berkata begitu menerusi ucapan di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada Rabu.
Menyentuh mengenai pembangunan industri kreatif, Fahmi menekankan potensi sektor perfileman dan animasi sebagai sumber ekonomi dan eksport baharu.
"Pembangunan industri kreatif perlu disokong melalui kerangka kerjasama yang melibatkan sektor swasta bagi membangunkan ekosistem yang lebih kukuh dan berdaya saing," tambahnya.
Berhubung fokus ketiga, beliau menegaskan kepentingan penyampaian maklumat dan komunikasi kerajaan secara berkesan.
Justeru, beliau menyeru Jabatan Penerangan serta unit komunikasi strategik kementerian dan agensi memainkan peranan lebih aktif bagi memastikan dasar dan pengumuman penting kerajaan sampai kepada kumpulan sasaran dalam bahasa yang mudah dan tepat.









Comments