Fahmi cadang wujudkan organisasi media ASEAN
- Suara Keadilan
- Sep 7, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Rangkaian media bagi rantau Asia Tenggara diyakini boleh meningkatkan ruang kerjasama organisasi media dalam kalangan negara ASEAN.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu dilihat mampu meningkatkan perkongsian laporan antara antara pengamal media dari rantau ini.
Jelasnya, ruang rangkaian tersebut juga boleh mengukuhkan hubungan Malaysia dengan negara tetangga khususnya menjelang kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan.
"Malaysia dapat memainkan peranan sebagai tuan rumah untuk mengumpulkan organisasi media dari rantau Asia Tenggara, dan berkolaborasi dengan lebih rapat.
"Harapan saya tahun hadapan kita akan dapat satu jaringan yang lebih lebih padu dalam kalangan organisasi media dari rantau Asia Tenggara
"Saya percaya platform organisasi media seperti RTM dalam perancangan untuk mewujudkan satu rangkaian baharu berkenaan ASEAN 2025," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 Asia News Network (ANN), semalam.
Selain itu, ketika ditanya mengenai sambutan ulang tahun ke-25 ANN, Fahmi berharap ruang organisasi media ASEAN dapat menerbitkan perkembangan berita Asia agar pembaca boleh merujuk berita dari media di rantau itu dan bukannya oleh media asing.
"Ia penting kerana untuk kita memahami sesama jiran dalam Asia, ada kewajaran agar organisasi media saling berhubung dan menghantar berita sesama mereka untuk dipaparkan di akhbar atau laman web media masing-masing.
"Dengan cara itu, saya percaya kita akan dapat mendengar suara yang asli dan benar dari negara Asia itu sendiri," katanya lagi.
Comments