Fadhlina ziarahi keluarga mendiang Truper K Indiran
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) telah meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut, Pulau Pinang untuk menyelaraskan sebarang bentuk bantuan dan sokongan pendidikan kepada adik bongsu kepada anggota tentera, Truper K Indiran, 22.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya prihatin kepada nasib menimpa keluarga tersebut yang sangat mementingkan pendidikan.
"Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga ini, yang mana ia adalah kehilangan amat besar buat keluarga ini dan juga negara.
"Saya hadir sebagai pimpinan negara yang turut berkongsi rasa pilu dan sedih, serta mendoakan agar keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.
"Di kesempatan ini, saya telah meminta PPD supaya kita dapat menyelaraskan apa-apa bantuan serta sokongan pendidikan untuk anak ini.
"Jadi keluarga tak perlu risau, kita akan tengok segala keperluan anak ini dari semasa ke semasa khusus untuk pendidikan," katanya dipetik.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal sebelumnya meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk menziarahi dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga mendiang di Georgetown pada Ahad. Hadir sama ialah wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah.
Media sebelum ini melaporkan kematian seorang anggota tentera, Truper K Indiran, 22, yang sedang mengikuti kursus di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja di Kem Batu 10 Kuantan, Pahang pada Khamis lalu.
Difahamkan mendiang mempunyai adik bongsu, K Maitraashini yang juga murid Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Greenlane, selain dua lagi adik iaitu K Varshini, 21, yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan K Sarvien, 17, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kulim, Kedah.
Sementara itu, ibu mendiang, S Usha, 52 dipetik laporan media merakamkan perasaan terharu dengan keprihatinan Menteri Pendidikan yang sudi bertandang ke rumahnya untuk memberikan sokongan moral.




Comments