Fadhlina umum RM200,000 baiki bilik darjah SK Setia Alam


Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengumumkan peruntukan RM200,000 bagi kerja pembaikan awal dan elektrikal di Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam susulan kebakaran yang memusnahkan sebuah bilik darjah sekolah itu Isnin lepas.
Beliau berkata pasukan teknikal kementerian telah turun ke sekolah berkenaan sehari selepas kejadian bagi tindakan susulan.
"Sementara siasatan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dijalankan, langkah diambil bagi memastikan bahagian sekolah yang selamat dapat terus digunakan.
"Kita mahu anak-anak dapat meneruskan pembelajaran dan kembali ke bilik darjah mereka dalam keadaan selamat dan selesa secepat mungkin," katanya menerusi hantaran Facebook.
Fadhlina yang juga Ketua Wanita KEADILAN turut berkata, kerja pembaikan akan dimulakan sebaik sahaja siasatan selesai.
Dalam kejadian petang Isnin, sebuah bilik darjah berkeluasan 55.74 meter persegi di SK Setia Alam terbakar 100 peratus, tiada murid dilaporkan berada di dalam bilik berkenaan. Kebakaran berjaya dikawal bomba tiba di lokasi.
"Saya cukup tersentuh melihat bagaimana guru-guru SK Setia Alam bertindak pantas membantu mengawal kebakaran sementara menunggu pasukan bomba tiba.
"Terima kasih cikgu. Dalam saat keselamatan anak-anak dan sekolah menjadi taruhan, kalian memilih untuk bertindak," katanya.




Comments