Fadhlina terus gigih santuni rakyat walau ada ugutan jenayah
- Suara Keadilan

- Nov 5, 2023
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ANALISIS: Semalam, seorang lelaki ditahan polis, seterusnya direman selama tiga hari kerana didakwa melakukan ugutan jenayah melalui media sosial terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Rasanya inilah pertama kali seorang menteri diugut secara jenayah seolah-olah mahu 'dibunuh' kerana ketegasan dan kelantangannya terhadap amanah yang dipikul beliau.
Sebelum ini, kita biasa mendengar hanya Perdana Menteri dan Raja saja yang pernah diugut sebegitu rupa.
Begitu pun, syabas kepada pihak polis kerana cekap dan pantas bertindak, yang mana sesiapa sahaja diugut secara jenayah dan mungkin boleh mendatangkan bahaya, tidak pernah terlepas daripada tindakan yang sewajarnya.
Bagi Fadhlina, selain ugutan jenayah yang diterimanya ini, beliau dalam masa yang sama, begitu kerap pula dilempar pelbagai fitnah, tuduhan tidak berasas yang bertujuan cuba membunuh karektornya sebagai seorang pemimpin berpengaruh di Malaysia.

Terdapat satu dua pengguna media sosial dilihat sering menjadikan beliau sebagai sasaran dengan tohmahan cerita fitnah serta tidak benar yang silih berganti.
Kenapa agaknya Fadhlina begitu kerap dijadikan sasaran?
Jika tujuan mereka itu, termasuk ugutan bunuh terhadapnya, adalah untuk menjadikan beliau lemah dan mengurangkan keaktifan, mereka sebenarnya tersilap perkiraan.
Seperti yang kita boleh saksikan, semua ugutan dan fitnah itu tidak pernah menjadikannya wanita bertubuh kecil molek ini lemah, sebaliknya kekal aktif seperti biasa. Sama ada sebagai Menteri Pendidikan, Ketua Wanita KEADILAN Pusat atau Ahli Parlimen Nibong Tebal.
Ketika berlegar ugutan jenayah terhadap Fadhlina semalam misalnya, jadual kerja dan 'turun padang' bertemu rakyat terus lancar dan tidak dirombak atau dikurangkan.
Di kawasan Parlimennya di Nibong Tebal, beliau melawat beberapa sekolah, melawat masalah bumbung rosak akibat ribut baru-baru ini, berinteraksi dengan murid-murid serta meninjau keadaan kantin serta surau yang mengalami kerosakan.

Semua masalah itu kemudiannya diumumkan peruntukan untuk membaikinya.
Fadhlina turut menyantuni komuniti India bagi menyerahkan sumbangan hamper Deevapali, juga memeriahkan sukaneka KRT Taman Halaman Indah di Nibong Tebal .
Sehari sebelum itu, di Parlimen, beliau tetap tegas mempertahankan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di institusi-institusi di bawah KPM dengan meminta semua pihak agar jangan membuat gangguan-gangguan yang tidak wajar kepada semua program berkenaan.
Kata beliau, biar warga KPM menguruskan semua aktiviti anjurannya dengan cara yang terbaik, sesuai dengan matlamat dan tujuannya.
Hakikatnya, di benak Fadhlina, apa yang difikirkannya hanyalah tentang tugas dan amanah yang telah diletakkan di bahu beliau.
Gangguan seperti ugutan dan fitnah, tidak mungkin melemahkan semangatnya malah menjadi perangsang untuk Fadhlina melakukan yang lebih baik lagi demi rakyat dan negara tercinta.
__________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.




Comments