
Calon Ketua Wanita KEADILAN pusat, Fadhlina Sidek, bertekad untuk menguatkan parti melalui proses memperkukuh semangat keorganisasian dan konsolidasi dalam mewujudkan kekuatan dalaman.
Katanya, memperkukuh parti adalah niat awal beliau mentertai KEADILAN ketika parti sedang diasak hebat oleh lawan.
"Kefungsian organisasi hanya boleh berfungsi apabila wujud kekuatan hibrid antara idealisme dan aktivisme.
"Sememangnya kesetiaan adalah pengikat antara kedua-dua nilai ini, tetapi yang paling utama adalah politik substansif yang menawarkan khidmat kebaktian dan perlawanan idea yang progresif.
"Oleh yang demikian, tawaran saya kepada anggota parti khususnya pengundi wanita adalah visi untuk menterjemahkan gerakan aktivis parti dan agenda substansif kita dalam tindakan dan dasar parti," katanya.
Dengan kaedah pemilihan format satu ahli satu undi, kata Fadhlina, ianya dapat menggalakkan semua anggota wanita yang ada hasrat ingin membawa arus perubahan dan penambahbaikan bertanding. Maka kali ini bakat-bakat terpendam berani tampil ke hadapan bertanding dan diambil perhatian.
Justeru, beliau akan dalam masa terdekat akan meluncurkan kempen yang proaktif kepada wanita KEADILAN untuk mengangkatkan perjuangan mereka ke tahap lebih bermakna.
"Saya akan meluncurkan kempen dengan Tema “Wanita Nadi KEADILAN” dan akan berjumpa dengan seluruh anggota parti wanita di seluruh pelusuk negara untuk berkongsi visi dan agenda saya untuk Wanita KEADILAN.
"Nantikan agenda Lawa, Bangkit dan Asak sebagai tawaran khusus saya sebagai calon Ketua Wanita Pusat," katanya lagi.
Comments