Fadhlina sambut baik skim ansuran baju sekolah NADI


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyambut baik inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menjahit dan jualan pakaian seragam sekolah secara pembayaran ansuran.
Menurut beliau, isu kelengkapan sekolah kerap menjadi perhatian utama ibu bapa, terutamanya setiap kali menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Justeru,inisiatif pakaian seragam sekolah oleh 120 alumni NADI Mahir itu disifatkan usaha sangat bermakna yang berupaya memberi impak positif secara langsung dalam meringankan beban kewangan isi rumah.
"Sebagai Ahli Parlimen, isu pakaian seragam ini memang antara perkara yang kerap dibangkitkan oleh ibu bapa setiap kali sesi persekolahan bermula.
"Pendekatan NADI menerusi konsep pembayaran secara ansuran ini jelas dapat memberi sedikit kelegaan dan meringankan tanggungan ibu bapa," katanya dipetik laporan media.
Fadhlina berkata begitu selepas menyempurkan Program MADANI Kita (PMK) di Simpang Ampat, Nibong Tebal pada Santu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Bukhari Yahya.
Sementara itu, Fadhlina turut memuji pelaksanaan Program NADI Tuisyen Rakyat yang menyediakan bimbingan pembelajaran secara percuma kepada para pelajar.
Beliau juga berpuas hati dengan langkah NADI menyediakan ruang kepada golongan muda untuk menyertai aktiviti e-Sukan menerusi inisiatif seperti NADI e-Sport.




Comments