Fadhlina raikan veteran ATM di Nibong Tebal
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek menzahirkan penghargaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas jasa dan pengorbanan mereka mempertahankan kedaulatan negara.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan telah hadir menyantuni ahli Persatuan Veteran ATM Cawangan Nibong Tebal dalam satu majlis bersempena ambang sambutan Hari Kebangsaan pada Sabtu.
"Saya mendengar sendiri pengkisahan Tuan Haji Abdul Rahman dan rakan-rakan tentang perjuangan mereka suatu masa dahulu serta erti kemerdekaan. Kita sangat bertuah kerana dapat hidup dalam keadaan aman dan makmur hasil pengorbanan mereka," katanya.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menerusi hantaran itu menyifatkan perjuangan serta pengalaman para veteran sebagai warisan berharga yang wajar dihargai dan dijadikan inspirasi oleh generasi muda.
Menurutnya, semangat juang dan pengalaman yang dikongsi mampu menyemai rasa cinta kepada tanah air, sekali gus memastikan nikmat kemerdekaan terus dihargai.
Justeru, sebagai tanda penghargaan, Fadhlina turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk peruntukan bagi kerja baik pulih pejabat persatuan serta pelaksanaan aktiviti kebajikan.
"Jasa wira-wira negara tidak mungkin terbalas, namun apa sahaja keperluan mereka akan saya usahakan sebaik mungkin," tambahnya.
Comments