Fadhlina prihatin isu sekolah padat di Bukit Antarabangsa
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menzahirkan keprihatinan terhadap isu kepadatan sekolah di kawasan Bukit Antarabangsa.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan telah meninjau sendiri permasalahan tersebut dan komitmen mencari penyelesaian terbaik bagi memenuhi permintaan penduduk agar pembinaan sebuah sekolah rendah baharu di kawasan itu dapat disegerakan.
"Kebetulan berada di Ampang menziarahi rakan baik saya, Adun Bukit Antarabangsa.YB Abang Kamri (Mohd Kamri Kamaruddin) yang kemudiannya menyampaikan permintaan penduduk.
"Saya pinta beliau membawa saya ke tapak cadangan sekolah supaya saya dapat kenalpasti apa isu yang menghambat pembinaan sekolah itu," kata Fadhlina dipetik.
Beliau memaklumkan, walaupun sesi lawatan bagi meninjau tapak tersebut tidak termasuk dalam jadual rasmi, namun tetap dilakukan berikutan keperluan yang semakin mendesak di kawasan berkenaan.
"Kawasan ini semakin padat, namun kapasiti sekolah sedia ada tidak lagi mampu menampung keperluan semasa. Isu ini perlu diberi perhatian segera.
"Masalah memang ada, tetapi iltizam untuk mencari penyelesaian melalui musyawarah adalah sangat penting. Insya-Allah, satu mesyuarat khas bersama semua pemegang taruh akan diadakan dalam masa terdekat," ujarnya.
Menerusi hantaran sama, Fadhlina turut menegaskan Kementerian Pendidikan komited untuk bekerja sepanjang masa demi memastikan kebajikan dan keperluan pendidikan rakyat sentiasa terpelihara.









Comments