top of page

Fadhlina lulus RM150,000 bina laluan murid SK Iskandar selepas rayuan guru

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 6 days ago
  • 2 min read
Murid Sekolaj Kebangsaan Iskandar terpaksa meredah air untuk ke jeti bot di Tasik Bera
Murid Sekolaj Kebangsaan Iskandar terpaksa meredah air untuk ke jeti bot di Tasik Bera

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek meluluskan peruntukan RM150,000 bagi menyediakan laluan menggunakan modul Jetfloat untuk memudahkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar, Bera, Pahang yang berdepan kesukaran ke sekolah apabila paras air Tasik Bera surut.


Kelulusan itu dibuat selepas seorang guru sekolah berkenaan menerusi akaun Threads le_akmal dua hari lalu memuat naik keadaan laluan yang terpaksa digunakan murid ketika air surut, sambil memohon bantuan Fadhlina untuk memperbaiki titi sedia ada.


Fadhlina berkata beliau telah membuat semakan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang berhubung perkara itu sebelum meluluskan penyelesaian menggunakan modul Jetfloat.


"Saya telah membuat semakan dengan pihak JPN Pahang. Berdasarkan semakan tersebut, kos bagi laluan ini adalah sebanyak RM150,000 untuk modul Jetfloat. LULUS, ya cikgu.


"Saya telah meminta pihak JPN untuk mengambil tindakan selanjutnya. Semoga usaha ini dapat memudahkan urusan cikgu serta memberi manfaat dan keselesaan kepada anak-anak," katanya.

Seorang guru menunjukkan kesukaran meredah air tanpa titi yang sesuai
Seorang guru menunjukkan kesukaran meredah air tanpa titi yang sesuai

Terdahulu, guru berkenaan memuat naik gambar laluan yang digunakan murid SK Iskandar dengan menulis: "Salam Dato' Seri, ni laluan anak murid saya tiap-tiap pagi nak pergi sekolah. Boleh Dato' Seri belanja kayu tak, saya nak murnikan laluan titi ni."


Menurut guru itu, kemudahan bot dan enjin sebenarnya telah disediakan bagi membawa murid yang tinggal di seberang tasik, namun bot tidak dapat sampai ke tebing apabila paras air surut.


"Laluan ni pakai bot sebenarnya. Tapi air surut bot tak dapat lalu. Laluan dia stop sampai sini je. So kena la meranduk air untuk sampai ke tebing," katanya.


Beliau menjelaskan, apabila air surut jauh, murid perlu berjalan kira-kira 500 meter untuk sampai ke kawasan yang boleh dilalui bot, manakala ketika paras air tinggi, bot boleh sampai terus ke tebing.


Guru terbabit turut meminta orang ramai supaya tidak mengecam Fadhlina berhubung keadaan itu kerana pihak sekolah sebelum ini telah menerima bantuan bot dan enjin, selain guru sendiri pernah membina titi sementara bagi mengatasi masalah berkenaan.


"Jangan kecam Dato' Seri. Dah ada bantuan bot dan enjin untuk kegunaan pelajar seberang tasik, tapi bila air surut bot tak lepas sampai ke tebing. Memang perlu buat titi.


"Sebelum ni cikgu-cikgu dah buat titi tapi daif sikit la rupa dia. Kalau Dato' Seri sedar posting ni boleh la belanja kayu untuk buat titi lawa lagi. Takde niat nak cari salah sesiapa pun. In fact, Isnin baru ni Pengarah JPN baru je melawat kami kat pendalaman ni," katanya.


Hantaran berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi pengguna Threads, termasuk kritikan terhadap Fadhlina, manakala sebahagian pengguna mempersoalkan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menyediakan kemudahan laluan tersebut dan mengaitkannya dengan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Bagaimanapun, guru berkenaan menjelaskan sekolah itu sebelum ini turut menerima bantuan daripada Ismail Sabri, termasuk sumbangan peranti digital untuk kegunaan murid.


SK Iskandar merupakan sekolah luar bandar berhampiran Tasik Bera dan majoriti muridnya terdiri daripada masyarakat Orang Asli Semelai. Profil sekolah turut merekodkan lokasinya sebagai sekolah pedalaman dengan sebahagian murid datang dari perkampungan sekitar tasik.


Isu laluan itu kini dijangka mendapat penyelesaian lebih kekal selepas JPN Pahang diarahkan mengambil tindakan susulan terhadap kelulusan modul Jetfloat bernilai RM150,000 berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page