Fadhlina lancar Sekolah Model Komprehensif 9 (K9) di Ranau
- Suara Keadilan
- Jun 15
- 1 min read

Usaha Kerajaan MADANI memperluas akses pendidikan berkualiti terus terbukti dengan perasmian Sekolah Model Komprehensif 9 (K9) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tibabar, Ranau di Sabah.
Dirasmikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Sabtu, ia dibina dengan kos RM24 juta meliputi pembinaan pejabat pentadbiran, makmal, bilik darjah, pusat sumber, kuarters guru dan fasiliti asas lain.
Sekolah itu yang akan menempatkan pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga di bawah satu bumbung dijangka memberi impak langsung kepada peningkatan tahap literasi dan kehadiran murid di kawasan berkenaan.
"Inisiatif sekolah model K9 ini penting kerana ia menggabungkan pendidikan rendah dan menengah rendah di satu lokasi, sekaligus menangani isu keciciran pelajar akibat kekangan logistik dan jarak sekolah yang jauh dari penempatan.
"Tadi saya sempat bertemu komuniti dan ibu bapa yang menyatakan rasa gembira kerana kewujudan sekolah ini membolehkan anak mereka terus bersekolah dari peringkat awal sehingga ke menengah rendah tanpa perlu berpindah ke lokasi lain.
"Mudah-mudahan kita dapat selaraskan lagi serta memastikan fasiliti yang lebih kondusif untuk murid bersekolah, terutama di Sabah," katanya dipetik.
Fadhlina berkata begitu dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Program Pendidikan Advokasi Kemiskinan Haid di SMKA Mohamad Ali, Ranau.
Program Sekolah K9 merupakan usaha strategik Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menyediakan pendidikan bersepadu selama sembilan tahun dalam satu premis terutama di negeri-negeri yang mencatat cabaran geografi seperti Sabah dan Sarawak.
Sehingga kini sebanyak 33 buah sekolah dikenal pasti sebagai Sekolah K9 sedang beroperasi di seluruh negara dengan 15 daripadanya terletak di negeri Sabah.
Opmerkingen