top of page

Fadhlina ketuai delegasi Malaysia ke UNESCO



Oleh: Noraini Nordin


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Perancis telah diberi kesempatan untuk menyampaikan kenyataan negara dalam persidangan tersebut.


Persidangan tersebut berlangsung pada 7 hingga 10 November lalu di Paris, Perancis.


Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Fadhlina yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia telah menyampaikan kenyataan negara itu semasa sesi perbahasan umum dan berkongsi visi serta pencapaian Malaysia dalam menjayakan agenda UNESCO.


Menurut KPM, antara yang diketengahkan ialah mengenai peranan aktif Malaysia dalam mendukung agenda UNESCO seperti melalui sumbangan kepakaran dan kewangan melalui Program Kerjasama Malaysia-UNESCO yang memanfaatkan lebih 7,000 peserta daripada 87 negara.


"Malaysia juga mengetengahkan usaha yang diterajui secara bersama dengan Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura dalam mengangkat kebaya sebagai warisan kebudayaan yang diiktiraf UNESCO.


"Ini merupakan satu daripada usaha dalam meraikan persamaan dan solidariti rantau ASEAN demi memperkasakan warisan budaya tempatan ke peringkat global," menurut kenyataan itu.


KPM menerusi kenyataan sama berkata, Malaysia turut menyumbang dalam pembangunan pengetahuan menerusi Kursi UNESCO berkaitan Pembelajaran Masa Hadapan yang disandang oleh Malaysia serta pengiktirafan terkini UNESCO Triple Crown Site kepada Sabah dalam memelihara dan mempromosi tapak warisan dunia, biosfera dan geopark di Sabah.


"Negara-negara anggota turut disarankan untuk sentiasa memupuk kepercayaan serta keharmonian sejagat selain mewujudkan kerjasama erat dan strategik dalam menangani cabaran global melalui pendekatan penyelesaian silang.


"Semua negara anggota perlu memberi tumpuan untuk mencapai agenda SDG 2030 (Matlamat Pembangunan Mampan 2030) serta melaksanakan usaha yang berterusan selepas 2030," menurut kenyataan itu.


Dalam sidang tersebut, Fadhlina turut berkongsi pengalaman mengenai kesungguhan Malaysia menyediakan peluang pendidikan berkualiti bagi semua murid merentasi batasan kaum, agama atau status sosial di Malaysia.


"Semua itu, dilakukan melalui elemen pembangunan pendidikan berteraskan Pendidikan Manusiawi yang menumpukan kepada penerapan nilai dan pendekatan berorientasikan insan dalam pembangunan karakter berkonsepkan Karamah Insaniah," kata kenyataan itu lagi.


Selain menghadiri persidangan agung UNESCO, Ahli Parlimen Nibol Tebal itu menyertai Dialog Peringkat Menteri Berkaitan Pendidikan Keamanan yang dihadiri oleh menteri-menteri negara anggota UNESCO serta mengadakan lawatan ke beberapa institusi pendidikan yang boleh dijadikan penanda aras bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.


Penyertaan Fadhlina di persidangan agung ini membuktikan komitmen berterusan Malaysia selaku negara anggota UNESCO, malah membuka berpeluang kepada negara untuk membuat intervensi bagi memastikan prestasi dan pencapaian negara dalam bidang kompetensi UNESCO adalah selari dengan agenda semasa global.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page