Fadhlina Jawab 14 Isu Pendidikan Dikaitkan Dengan PRN
- Suara Keadilan

- Aug 16, 2023
- 3 min read

Oleh: Noraini Nordin
Susulan 'kegagalan' Pakatan Harapan (PH) - BN menghasilkan kemenangan yang diharap-harapkan di enam negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek muncul sebagai menteri antara yang paling banyak 'dipersalahkan'.
Sekurang-kurangnya 14 isu dibangkitkan oleh warga maya yang mereka dakwa telah menyumbang kepada kekalahan itu.
Ada pula yang terang-terang menyebut faktor kekalahan Terengganu, Kedah dan Kelantan dalam PRN daripada sudut atau fungsi Pejabat Menteri Pendidikan.
Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dan menyedari kedudukannya sebagai Menteri yang perlu memberi pencerahan, ini adalah jawapan Fadhlina terhadap isu-isu yang dibangkitkan itu.
Isu 1: Pemimpin Parti pegang jawatan di KPM, JPN dan PPD
Jawapan - Saya mohon mana-mana pihak yang terima butiran dan lampiran sebagai dokumen sokongan, boleh kongsikan di link berikut : https://fadhlinasidek.com/kami-pro-mendengar/
Isu 2: Tidak turun padang menjelaskan dasar-dasar kerajaan
Jawapan - Terdapat dua program utama yang melibatkan struktur di peringkat pusat, negeri dan daerah iaitu Jerayawara Pendidikan Madani & Mini Karnival Pendidikan
Isu 3: Penglibatan Guru dalam Kempen dan Sosial Media
Jawapan - Mana- mana guru yang dikenalpasti menggunakan waktu P&P untuk berkempen boleh dikenakan tindakan tatatertib. Orang awam dan ibu bapa boleh majukan aduan dan tidak ada kebenaran khas untuk penjawat awam yang menggunakan waktu bertugas untuk berkempen.
Isu 4: Tidak membenarkan program Tingkatan 6
Jawapan - Faktanya KPM telah menganjurkan Program Pembinaan Karakter Insan di beberapa buah negeri yang melibatkan partisipasi pelajar tingkatan 6.
KPM tiada halangan untuk mana-mana program yang memberikan manfaat kepada murid-murid, namun tertakluk kepada garis panduan pelaksanaan program demi keselamatan dan kebajikan murid.
Isu 5: Projek di sekolah sebagai dana pilihanraya
Jawapan - Proses untuk mana-mana perolehan masih lagi tertakluk kepada sistem pengurusan tender. Jika terdapat sebarang aduan dan maklumbalas berkenaan isu penyalahgunaan dana bagi tujuan politik, boleh ajukan salah laku ke : https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=100
Isu 6: Isu Fahaman ekstrem dan pendekatan PPD & JPN
Jawapan - KPM sentiasa menerapkan nilai-nilai karamah insaniah di dalam premis pendidikan. Mana-mana guru dan pensyarah di bawah perjawatan KPM juga akan dikenakan tindakan jika melanggar peraturan yang ditetapkan.
Isu 7: Jawatan kepada pro Kerajaan
Jawapan - Mana-mana individu atau pegawai yang berminat untuk memenuhi kekosongan boleh melakukan yang sedemikian seperti yang dilampirkan dalam perkhidmatan sumber manusia: https://www.moe.gov.my/soalan-lazim-menu/soalan-lazim-perkhidmatan/perkhidmatan-sumber-manusia
Isu 8: Menteri Pendidikan dan Pegawai Atasan KPM
Jawapan - Semua penjawat awam sentiasa diingatkan untuk mampu menggalas agenda Government of The Day bagi memastikan pelaksanaan dan perencanaan agenda pendidikan mampu mengikut landasan yang digariskan.
Isu 9: Guru-Guru ditindas oleh Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Daerah dan Negeri
Jawapan - Komitmen dalam memastikan Teras Pertama : Komunikasi boleh diperbaiki dan ditambah baik adalah satu tekad dalam perkhidmatan KPM. Justeru, saya sediakan laluan aduan khusus melalui web saya agar setiap individu dapat membuat aduan tanpa khuatir mereka akan dikenakan tindakan.
Isu 10: Program Pengisian Guru dan Dasar Kerajaan Madani
Jawapan - Institut Aminuddin Baki telahpun menganjurkan Program Seminar Membangunkan Malaysia Madani yang melibatkan semua pemegang taruh pendidikan. Namun, masih boleh ditambah baik di peringkat negeri dan daerah.
Isu 11: Tindakan tegas kepada guru yang melanggar peraturan
Jawapan - Setiap aduan yang diajukan mengikut saluran SISSPA dan lain-lain telahpun diambil tindakan oleh unit integriti. Hinaan dan cacian yang menyentuh isu 3R juga akan disiasat oleh pihak berkuasa.
Isu 12: Lantikan pentadbir sekolah tidak mengikut saluran
Jawapan - Mana- mana negeri yang menerima makluman dan butiran berkenaan isu berkenaan diminta tampil untuk memberikan butiran. Ibu bapa dan guru-guru sentiasa mahukan ketelusan dalam memposisikan pasukan pentadbiran di peringkat sekolah dan wajib mengikut kapasiti yang telah ditetapkan.
Isu 13: Para guru yang tidak menyokong dan mengajak murid untuk tidak menyokong
Jawapan - Guru-guru adalah barisan hadapan dalam membangun pendidikan manusiawi dan agenda Malaysia Madani. Jika terdapat mana-mana pihak yang dilihat membuat sabotaj dalaman dan indoktrinisasi yang tidak sihat, pentadbir diminta untuk ambil tindakan tuntas. PIBG juga mampu berperanan dalam menjadi jambatan info dan aduan oleh murid.
Isu 14: Peranan Pejabat Menteri Pendidikan dalam mengangkat Agenda Malaysia Madani
Jawapan - Kami ambil tanggungjawab penuh dan akan menggiatkan lagi aktiviti yang melibatkan semua pemegang taruh pendidikan demi memastikan agenda Malaysa Madani dapat dijayakan. Semua komentar dan saranan diraikan di segenap peringkat.




Comments