Fadhlina gesa siasatan kes murid dibuli di Johor disegerakan
- Suara Keadilan

- Aug 19
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) menegaskan tiada ruang kompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Justeru beliau mahu siasatan berhubung kes seorang murid sekolah agama di Johor yang didakwa menjadi mangsa buli disegerakan dengan tindakan sewajarnya diambil.
"Saya memandang serius kejadian ini. Ia mesti di kendalikan dengan adil dan telus berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, tular di media sosial laporan media mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menjadi mangsa buli menderita akibat gegaran otak.
Ibu mangsa, Siti Suhana Misdi mendakwa anak lelakinya itu didakwa dipukul ditendang serta dihentak kepala oleh si pelaku yang juga murid darjah enam pada 21 Februari lalu.
Insiden berpunca dari rasa tidak puas hati pelaku kepada kakak mangsa yang menolak cintanya dan pelaku didakwa tidak dikenakan tindakan sewajarnya kerana masih di bawah umur.
Sementara itu, Fadhlina memaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah menziarahi mangsa yang sedang dirawat di hospital.
Beliau turut mendoakan pelajar terbabit segera diberikan kesembuhan.






Comments