top of page

Fadhlina arah Unit Integriti KPM siasat kes kematian murid 11 tahun

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 4 hours ago
  • 1 min read

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek (gambar) mengarahkan Unit Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan susulan berhubung kes kematian seorang murid 11 tahun di sebuah sekolah di Kedah.


Langkah itu jelasnya menyusuli siasatan yang telah dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kedah berhubung aduan keluarga mangsa sebelum ini.


"Saya telah mengarahkan Unit Integriti (KPM) untuk mengambil tindakan selanjutnya selaras peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa serta berlandaskan prinsip keadilan kepada semua pihak.


"Saya mengikuti dengan penuh rasa dukacita pemergian Allahyarhamah anakanda Nur Qaira Alisha. Saya rakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa serta seluruh keluarga atas kehilangan yang amat berat ini," katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.


Sebelum ini, bapa mangsa ada meluahkan rasa kesal di media sosial apabila anaknya yang mempunyai masalah jantung didakwa terpaksa menyertai aktiviti larian.


Akibat kejadian tersebut, Nur Qaira Alisha didakwa hanya mampu terlantar dan memerlukan bantuan oksigen sebelum dilaporkan meninggal dunia pada malam Rabu.


Lebih mengecewakan, surat pengesahan kesihatan berhubung keadaan anaknya itu sudah diserahkan terlebih dahulu kepada pihak sekolah.

Sementara itu menerusi hantaran sama, Fadhlina menegaskan pihaknya memandang serius setiap perkara melibatkan keselamatan dan kebajikan murid.


Keutamaan kementerian pada masa ini, katanya, adalah memastikan keluarga mangsa diberikan ruang dan sokongan sewajarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page