top of page

Fadhlina arah teliti semula kes kritikal pertukaran guru

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 22 hours ago
  • 2 min read

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek (gambar) mengarahkan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) meneliti semula beberapa kes kritikal membabitkan permohonan pertukaran guru menerusi sistem eGTukar yang masih memerlukan perhatian.


Beliau berkata keputusan bagi Fasa 2 permohonan berkenaan dijangka diumumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.


"Saya juga telah minta BPSH meneliti semula beberapa kes kritikal yang masih memerlukan perhatian.


"InsyaAllah, keputusan Fasa 2 akan diumumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi," katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.


Fadhlina berkata, beliau memahami kekecewaan guru yang permohonan pertukaran mereka belum berjaya terutama mereka yang masih menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ) dan terpaksa berjauhan dengan pasangan serta keluarga.


Jelas beliau sebelum ini kementerian turut telah berusaha memendekkan proses permohonan pertukaran dari 36 bulan kepada 24 bulan.


"Terdapat guru yang luahkan rasa kecewa apabila permohonan eGTukar belum berjaya.


"Mohon maaf, cikgu-cikgu. Saya faham masih ramai yang PJJ, berjauhan dengan pasangan dan keluarga.


"Sebab itu antara ikhtiar kita adalah memendekkan tempoh permohonan kepada 24 bulan berbanding 36 bulan sebelum ini," katanya.


Fadhlina meminta guru yang masih belum berjaya dalam permohonan kali ini supaya tidak berputus asa.


“Kepada yang belum berjaya kali ini, jangan putus asa. Kita terus ikhtiarkan apa yang boleh.


"Stay strong. We love you. We make doa for you," katanya.


Isu pertukaran guru khususnya membabitkan pasangan yang tinggal berjauhan atau sebelum ini sering dikaitkan dengan kelompok guru ‘duka lara’ menjadi antara isu kebajikan warga pendidik yang mendapat perhatian Kementerian Pendidikan (KPM).


Antara cabaran dalam meluluskan permohonan pertukaran ialah keperluan memastikan penempatan guru tidak menyebabkan kekurangan tenaga pengajar bagi opsyen tertentu di sesebuah sekolah atau negeri.


Pada 2025, sebanyak 9,506 daripada 15,846 permohonan pertukaran guru atas permohonan sendiri diluluskan, bersamaan kira-kira 60 peratus.


Bagi kategori pasangan berjauhan, kadar kelulusan direkodkan lebih tinggi iaitu 67 peratus.


Kelulusan pertukaran menerusi eGTukar bagaimanapun bukan berdasarkan tempoh perkhidmatan semata-mata sebaliknya mengambil kira tiga kriteria utama iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di negeri yang dipohon.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page