Fadhlina arah KPM beri sokongan psikososial untuk keluarga Damiya


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan kementeriannya menyediakan sokongan psikososial kepada keluarga mangsa dan warga sekolah susulan kematian seorang murid perempuan berusia tujuh tahun di sebuah sekolah di Dengkil, Sepang, pada Isnin.
Menurut Fadhlina, keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika ini adalah memastikan kebajikan keluarga mangsa dan warga sekolah yang terkesan terus mendapat perhatian.
"Di peringkat KPM, kita sudah mengambil langkah, khususnya menyediakan sokongan psikososial kepada keluarga mangsa dan warga sekolah.
"Kita juga akan mengikuti perkembangan kes ini berdasarkan hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Sepang," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 di Institut Pendidikan Guru Malaysia pada Selasa.
Berdasarkan laporan media, Derma Damiya Nur Mikayla meninggal dunia akibat salur pernafasan tersumbat akibat makanan.
Bapa mangsa, Meor Shahriza Meor Zakaria, 48, berkata beliau yang bergegas ke sekolah selepas dimaklumkan insiden itu cuba memberikan bantuan termasuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun anaknya tidak memberikan sebarang tindak balas.
"Ingatan dan doa saya bersama keluarga adik Damiya. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya serta mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh keluarga," kata Fadhlina dalam satu kenyataan lain di Facebook.




Comments