Exco Selangor turun padang awasi harga musim perayaan
- Redzuan Shamsudin
- Feb 1, 2022
- 1 min read

Kenaikan harga barang sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dielakkan dengan penetapan harga maksimum oleh Kemeneterian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Sehubungan itu, Exco Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni semalam mengadakan lawatan Ops Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bersama KPDNHEP Selangor di NSK Trade City BMC Mall, Mahkota Cheras.
Menurut Zawawi, tiada laporan kenaikan harga pada musim perayaan kali ini tetapi meminta pengguna melakukan perbandingan harga untuk mendapatkan harga patut bagi setiap barangan yang dibeli.
"KPDNHEP Selangor bersama dengan pejabat Exco Hal Ehwal Pengguna negeri Selangor mengadakan kempen walkabout sempena pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan Tahun Baharu Cina 2022, dan kami dapati tidak ada aduan berkenaan kenaikan harga barang kawalan yang ditetapkan.
"Ada 6 barangan yang telah dikenalpasti untuk dijadikan barang kawalan kali ini," katanya.
Menurut beliau, 6 barangan yang dikenakan kawalan harga khas bagi tahun baharu ialah ikan bawal putih, udang putih, bawang putih dari China, daging babi dan daging babi bercampur lemak.
Kesemua barangan tersebut dikawal harganya mulai 29 Januari hingga 4 Februari 2022.
"Pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi Price Catcher bagi tujuan semakan harga dan buat perbandingan harga dalam radius 10 km kedudukan semasa pengguna," katanya.
Tambah beliau, KPDNHEP Selangor ada 6 cawangan yang komited memantau harga barang di pasar raya, pasar awam, pasar tani demi menjaga kepentingan pengguna.
Pemeriksaan juga, kata Zawawi, dilakukan berkenaan tanda harga khas berwarna merah jambu di bawah skim pemantauan berkenaan.
"Peniaga di peringkat borong perlu sediakan harga senarai bagi 6 barang berlatar belakang merah jambu yang memperihal barangan harga terkawal, dan harga jualan borong hendaklah dipamerkan," katanya lagi.
Comments