Exco Selangor kecam penyalahgunaan AI jana imej tidak senonoh
- Suara Keadilan

- Jan 5
- 1 min read

Exco Pembangunan Wanita mengecam keras penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang digunakan untuk menjana imej lucah secara digital.
Anfaal Saari menerusi laman X berkata, perbuatan itu bersifat jijik, tidak beradab dan mencerminkan keruntuhan nilai kemanusiaan.
"Jijik. Tak beradab. Tak bermaruah. AI sekarang digunakan untuk menelanjangkan orang yang menjaga maruah. Ini bukan kebebasan bersuara, tetapi satu bentuk serangan seksual digital," tegas Ahli Dewan Undangan (ADN) Taman Templer itu.
Media baru-baru ini melaporkan penyahgunaan chatbot AI di platform X yang didakwa mampu mengubah imej wanita, termasuk wanita bertudung, menjadi seolah-olah tanpa pakaian atau penutup kepala melalui arahan tertentu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Sabtu memberi amaran keras kepada pengguna serta pengendali platform digital agar tidak menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Suruhanjaya itu menegaskan penyalahgunaan AI bagi menghasilkan atau menyebarkan kandungan lucah, jelik melampau dan memudaratkan, khususnya melibatkan wanita serta kanak-kanak merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).
Susulan itu Suruhanjaya itu memulakan siasatan terhadap pengguna yang disyaki menyalahgunakan kecerdasan buatan (AI) di platform tersebut.









Comments