Kejadian banjir di sekitar Parlimen Ampang, Selangor semalam menjejaskan sekitar 400 keluarga.
Menurut Exco Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail, kejadian tersebut berlaku disebabkan hujan lebat selama beberapa jam dari petang hingga ke malam.
Katanya yang juga Penyelaras Parlimen Ampang, sejak malam semua jentera kerajaan seperti MPAJ, Pejabat Daerah, Bomba, JPS, Luas, Ketua Kampung, Ahli Majlis, Serve, ARIF dan lain-lain turun membantu membersihkan rumah mangsa banjir atau memindahkan mangsa ke pusat pemindahan.
"Pejabat Penyelaras Ampang, DUN Lembah Jaya dan DUN Bukit Antarabangsa menyelaraskan keperluan dan bantuan.
"Kepada mangsa, semoga bersabar, kami akan bantu sedaya mungkin.
"Juga saya dah mohon pihak kerajaan memberikan maklum balas bagaimana langkah segera dan jangka panjang untuk tangani isu banjir ini," katanya.
Rodziah turut meninjau ke Kampung Pinggir 3, Lembah Jaya yang paling terjejas akibat banjir.
Katanya, kerosakan di kawasan itu kritikal, bahkan majoriti penduduk mengalami kerugian serta kerosakan harta benda dalam skala yang besar.
"Tindakan susulan telah saya ambil untuk membantu para penduduk," katanya lagi.
Beliau turut mengedarkan alat alat pembersihan seperti penyapu, menolak air, getah paip, sarung tangan kepada mangsa mangsa banjir bagi menambah alat alat pembersihan mereka.
コメント