
Ketua Penerangan KEADILAN Perak, Muhamad Arafat Varisai mendakwa ada exco kerajaan negeri Perak yang tidak memberikan kerjasama, di saat kerajaan Negeri Perak sedang berusaha ke arah menangani pandemik Covid-19.
Beliau berkata, sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) di pusat telah ditumbangkan, ada exco kerajaan dari PN tidak ikhlas membantu usaha kerajaan negeri serta tidak minat turun padang bersama Menteri Besar walaupun menjadi tanggungjawab beliau.
"Ini tidak pernah berlaku sebelum ini dimana exco bertanggungjawab tidak mahu turun bersama MB dalam program rasmi bukan sekali tapi beberapa kali.
"Saya difahamkan tindakan ini satu bentuk protes dan memberi ‘amaran’ tidak teragak-agak tarik sokongan terhadap MB sekiranya masih tidak menghormati PN di Perak.
"Tindakan beliau tidak memberikan kerjasama dalam usaha menangani pandemik sedangkan beliau merupakan EXCO yang bertanggungjawab menangani pandemik seolah olah ‘sabotaj’ dengan niat mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri Perak pimpinan Datuk Shaarani Mohamad bahawa lewat dalam tindakan dan gagal menangani pandemik di negeri ini," katanya.
Justeru, beliau menggesa semua pihak khususnya exco kerajaan negeri dari PN mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri.
"Dengan memberi kerjasama penuh kepada Menteri Besar dalam usaha menangani pandemik Covid-19, memberjayakan program vaksinasi, mengurangkan pengangguran, meningkatkan bantuan kebajikan rakyat seperti mana dilakukan pembangkang demi kepentingan rakyat Perak," katanya.