top of page

Exco Kedah jangan kelirukan fakta, kerajaan utamakan pendidikan anak tempatan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 25
  • 2 min read

ree

Angkatan Muda Harapan (AMH) mempersoalkan tindakan Exco Kedah merangkap ADUN Pas, Haim Hilman Abdullah yang didakwa mengelirukan Dewan Undangan Negeri Kedah dengan statistik bercelaru berhubung jumlah pelajar bukan warganegara di universiti awam terkemuka negara.


Ketua Penerangan AMH, Ammar Atan (gambar) menegaskan, dakwaan Haim Hilman kononnya 27% pelajar di lima universiti awam utama Malaysia terdiri daripada bukan warganegara adalah tidak tepat.


"AMH ingin membetulkan kenyataan ADUN Pas tersebut. Pada tahun 2024, enrolmen pelajar bukan warganegara di lima universiti awam teratas Malaysia (UM, UKM, USM, UTM dan UPM) adalah 21% iaitu 38,388 daripada jumlah pelajar sebanyak 180,024.


"Angka 21% ini adalah jauh lebih rendah daripada 27% yang dikatakan oleh Haim Hilman," katanya dalam kenyataan media.


Menurut Ammar, isu yang cuba dimainkan seolah-olah anak muda Malaysia dipinggirkan adalah tohmahan, kerana realitinya majoriti pelajar antarabangsa menuntut di peringkat pasca siswazah (Master dan PhD) di universiti utama berkenaan, bukannya di peringkat ijazah sarjana muda.


"Data rasmi kerajaan menunjukkan bahawa hampir 74% pelajar antarabangsa di universiti awam adalah di peringkat pasca-siswazah pada tahun 2024.


"Secara keseluruhan, terdapat 53,322 pelajar antarabangsa di universiti awam berbanding jumlah 558,476 pelajar warganegara Malaysia pada tahun 2024.


"(Hal itu membuktikan) lima universiti awam teratas Malaysia bukan sahaja mengutamakan warganegara tempatan, malah memberi penekanan kepada pelajar B40," jelas beliau.


Ammar juga mengingatkan, ketika Pas berada dalam kerajaan pusat pada tahun 2022, peratusan pelajar antarabangsa di lima universiti penyelidikan tersebut sudah mencecah 17%.


Namun, katanya, Haim Hilman yang ketika itu memegang jawatan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia tidak pernah menganggap perkara itu sebagai masalah.


Beliau turut mendedahkan bahawa pada 2024, lebih 108,000 pelajar daripada keluarga B40, bersamaan 60% daripada jumlah pelajar di lima universiti berkenaan telah berjaya melanjutkan pengajian.


"Universiti awam tidak pernah menganak-tirikan pelajar tempatan. Buktinya, dalam dekad yang lepas (2015-2024), kerusi untuk pelajar tempatan telah meningkat sebanyak 44,243 berbanding hanya 26,917 untuk pelajar antarabangsa.


"Adalah pelik, Haim Hilman, bekas Naib Canselor, tidak memahami semua ini," katanya.


Ammar menegaskan bahawa peratusan pelajar antarabangsa sekitar 20% bukanlah isu yang perlu dipolemikkan. Malah, ia membawa manfaat besar seperti yang dibuktikan apabila Universiti Malaya kini berada di tangga ke-58 dunia dalam QS World University Ranking 2026, dengan pengantarabangsaan menjadi salah satu faktor penyumbang.


Justeru itu, Ammar mendesak Haim Hilman Abdullah memohon maaf atas tindakannya yang telah memesongkan Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page