Era Kerajaan Madani, sekolah perlu dibina dalam kawasan perumahan - PM
- Suara Keadilan
- Aug 6
- 2 min read

Era Kerajaan Madani memerlukan perancangan bandar yang mengutamakan pendidikan serta menjimatkan kos pengangkutan penduduk.
Hal itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucaptama sempena Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Pembangunan Unit Rumah Residensi Wilayah dan Ruang Penjaja MADANI yang disempurnakan oleh beliau di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, hari ini.
Katanya, pemaju perumahan perlu mengambil kira golongan berpendapatan rendah atau sederhana yang tidak mampu menanggung kos menghantar anak anak ke sekolah, prasekolah dan taman asuhan kanak-kanak (taska) yang jauh dari rumah.
"(Projek) di bandar kalau tak ada sekolah, gaji RM3,000 nak pergi jalan jauh mana untuk ke sekolah? Bagaimana dengan keselamatan anak-anak? Dengan kes jenayah yang menyinggung kedudukan anak-anak kecil.
"Kalau sekolah di bangunan yang sama.. kan selesa ibu bapa, boleh bekerja dengan tenang. Kos pengangkutan pun kurang. Ada yang kos pengangkutan minima sampai RM400.
"Untuk keluarga yang miskin, itu susah. Jadi bila kita kata keprihatinan terhadap masalah rakyat, kita kena lihat ini semua seperti keperluan rakyat, pengangkutan, sekolah, tadika dan kesihatan mereka,'' katanya.
Oleh itu, menurut Anwar, pegawai perancang bandar perlu memahami sepenuhnya konsep Kerangka MADANI dan pada masa sama, pemaju projek perumahan juga diharap dapat memberikan kerjasama yang sewajarnya.
''Saya tidak kisah teguran, kritikan, maki hamun di luar atau dalam Parlimen, (tetapi) saya nak negara ini berubah dengan sikap kita yang bertanggungjawab (dalam) menjalankan peranan kita. Kalau tidak, rakyat tidak mendapat perolehan apa-apa.
''Jadi saya harap pemaju beri kerjasama, saya tidak mahu ganggu. Ini projek besar yang dilakukan dan saya tidak perlu tahu siapa pemaju.
''Yang saya nak ialah konsep ini memenuhi semua keperluan dan bukan sahaja projek ini dipantau peribadi oleh PM, malah semua projek (lain) juga mesti ikut konsep ini,'' tegas beliau yang juga Menteri Kewangan.
Comments