Entiti bawah YPB perlu pastikan mandat dilaksana dengan cekap
- Suara Keadilan
- Dec 15, 2023
- 1 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu entiti di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) memastikan mandat yang diamanahkan kerajaan dilaksanakan dengan cekap dan mengikut tatakelola yang terbaik.
Harapan itu dinyatakan beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YPB di pejabatnya di Putrajaya pada Khamis.
"Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) yang turut dihadiri ahli-ahli yang lain iaitu YM Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda dan Tan Sri Haji Amrin Buang.
"Saya tekankan supaya entiti di bawah YPB iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) perlu memastikan mandat yang diamanahkan kerajaan dilaksanakan dengan cekap dan mengikut tatakelola yang terbaik.
"Fokus dan koordinasi antara agensi berkaitan pembangunan bumiputera juga perlu diperkukuh," katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Sementara itu Anwar berkata, pada Belanjawan 2024, beliau telah mengumumkan bahawa institusi pelaburan Bumiputera termasuk Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) akan dipusatkan di bawah YPB
Sehubungan itu jelasnya, bagi memastikan peralihan ini dapat dilaksanakan dengan segera, beliau turut akan mempengerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) dan YPB.
Commentaires