
Oleh: Akmal Manaf
Sesi Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim diarah keluar dan digantung selama 10 hari daripada menghadiri sidang Parlimen kerana didakwa menghina Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Menurut Johari, keputusan mengarahkan wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) itu keluar dewan dan menggantungnya dibuat selepas beliau tidak menarik balik atau membuat permohonan maaf susulan tindakannya meskipun telah menerima surat untuk berbuat demikian pada 22 Julai lalu.
''YB (Pendang) juga pernah mengeluarkan ucapan negatif yang berkaitan dengan saya melalui hantaran video di aplikasi TikTok pada 18 Julai lalu seperti yang telah diperincikan oleh saya di dewan ini pada 6 November lalu.
''Walaupun saya telah mengemukakan surat kepada YB Pendang pada 22 Julai lalu untuk menarik balik ucapan tersebut dan membuat pemohonan maaf tetapi hingga hari ini masih belum ada tindakan daripada YB (Pendang).
''Memandangkan YB tidak menarik balik dan memohon maaf kepada saya sebagai Speaker, maka saya perintahkan YB keluar dari dewan ini untuk tempoh 10 hari berdasarkan peraturan 44 (2)," katanya.

Dalam kekecohan hampir 10 minit itu, Johari menjelaskan, selain menghantar surat, beliau turut mengambil langkah lain melalui Setiausaha Dewan Rakyat dan Ketua Whip Pembangkang agar Awang (Pendang) tampil memperbetulkan dakwaannya, namun ia berlaku.
Dengan nada tegas, Johari turut membacakan kepada dewan tentang apa yang diperkatakan oleh Awang.
"Saya bacakan... kezaliman telah berlaku dalam Parlimen dan luar Parlimen. Dalam Parlimen sekarang sedang dikuasai Tan Sri Speaker yang melakukan kezaliman bermula dengan Pendang kemudian Machang dan seterusnya (akan terus berlaku ) kalau tidak dihalang daripada sekarang.
''Yang halau dia keluar bukan saya, tetapi Timbalan Speaker. Yang kaitkan dengan saya kenapa? Sebab itu saya minta supaya minta maaf tapi dia tak buat sehingga hari ini," katanya.
Susulan keputusan berkenaan, dewan bertukar gamat apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang membuat bantahan.
Antara yang bangun membantah adalah Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang membela Awang dengan mengaitkan isu conflict of interest (pertembungan kepentingan) mengambil kira seolah-olah Johari 'menghakimi' isu berkaitan dirinya sendiri.
''Saya mencadangkan, untuk menjaga integriti YB Tan Sri sebagai Speaker yang dianggap sebagai seorang hakim kalau dalam undang-undang, tidak mengendalikan kes Tan Sri sendiri.
"Saya tak halang (keputusan gantung Awang) tetapi biarlah ia dikendalikan Timbalan Speaker," katanya.
Kemudian, Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang juga seorang peguam pula bangun sekali gus menepis apa yang diperkatakan Takiyuddin.
''Tan Sri saya dengar apa yang diperkatakan oleh Kota Bahru (Takiyuddin) tapi beliau mungkin lupa dalam mahkamah kalau ada orang yang menghina mahkamah atau hakim, hakim sendiri boleh ambil tindakan," katanya.
Dalam pada itu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang juga seorang peguam mencadangkan supaya Johari merujuk Awang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Awang sebelum beredar turut meminta ruang kepada Johari untuk bercakap.
"Saya nak ucapkan terima kasih sebelum keluar (Dewan). Saya terima (keputusan Speaker)," ujarnya.
Comments