Enggan minta maaf, Ketua Penerangan Pas jatuhkan maruah negara
- Suara Keadilan
- Jul 30
- 1 min read
Updated: Aug 6

Oleh: Helmi Mohd Foad
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyelar sikap ego Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang enggan meminta maaf atas tindakannya memuat naik karikatur yang didakwa mempersenda Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Thailand serta Kemboja dengan menggunakan perumpamaan haiwan.
Naib Ketua AMK, Nabil Halimi (gambar) berkata, sikap Ahli Parlimen Pasir Mas itu jelas merugikan imej negara dan harus segera diambil tindakan oleh pihak polis.
"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik agar bersatu menolak dan mendesak Ketua Penerangan Pas agar segera memohon maaf kepada Malaysia, Kemboja dan Thailand atas sikapnya yang jelas tidak menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi.
"Rakyat Malaysia tidak boleh bertolak ansur dengan pengkhianat-pengkhianat yang ingin menjatuhkan maruah negara di persada antarabangsa," katanya dalam hantaran di X hari ini.
Nabil menegaskan Ahli Parlimen Pasir Mas itu perlu sedar bahawa tindakannya itu bukan sahaja mempersenda Perdana Menteri malah menghina negara bersama pegawai Wisma Putra yang bertungkus-lumus dalam menjayakan misi mendamaikan konflik Kemboja dan Thailand.
Jelas beliau usaha Perdana Menteri Anwar sebagai orang tengah rundingan damai tersebut adalah mewakili Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun ini.
"Sebarang perbuatan menghina usaha negara kita, jelas adalah satu bentuk pengkhianatan untuk memalukan Malaysia di mata dunia," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada beberapa pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyokong usaha Perdana Menteri meskipun berbeza pandangan dalam isu pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara.
Comments