
Serangan Presiden Umno, Zahid Hamidi yang mendakwa negeri-negeri ditadbir Pakatan Harapan "tamak kuasa" kerana tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanyalah tohmahan tidak berasas.
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Akmal Nasir, Zahid dan Umnolah yang tamakkan kuasa kerana sanggup membubarkan Parlimen dan memaksa DUN di bawah kendalian mereka dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya biar pun rakyat terpaksa meredah banjir.
"Malah rakyat juga melihat ini sebagai usaha Zahid untuk berkuasa penuh jika menang pilihan raya dan cuba melepaskan diri dari kes mahkamah yang beliau hadapi hari ini.
"Pakatan Harapan (PH) akan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat tanpa meletakkan rakyat dalam situasi bahaya seperti banjir dan hujan lebat.
"Dalam isu ini PH tidak boleh dipersalahkan kerana perkara ini telah diputuskan lebih awal pada 5 Oktober lalu bahawa negeri-negeri yang ditadbir PH akan dibubar pada 2023 bagi membolehkan kerajaan tiga negeri menumpukan usaha bantuan banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.
Akmal juga bertanya kepada Zahid, apakah reaksi beliau apabila rakan tahalufnya Presiden Pas, Hj Hadi Awang mengarahkan negeri di bawah kendalian parti itu tidak membubarkan DUN.
Katanya, jika Zahid membicarakan soal pembaziran dana mengadakan pilihan raya berasingan antara Persekutuan dan DUN maka mengapakah Umno membubarkan DUN Johor tahun lalu sedangkan tiada sebarang pergolakan politik di sana.
"Mengapa Zahid tidak bercakap soal pembaziran di beberapa Pilihan Raya Negeri? Bukankah PRN Johor diadakan kerana Umno "tamak kuasa" walaupun pembangkang memberikan komitmen membantu Kerajaan Negeri dalam berdepan pandemik. Bagaimana pula soal Umno guling Umno sehingga terjadinya PRN Melaka?
"Zahid Hamidi juga tidak layak bercakap soal mandat rakyat bila parti beliau sendiri menjadi kerajaan bukan melalui mandat rakyat sebaliknya melalui pintu belakang," katanya lagi.