Enggan beri kerakyatan, diskriminasi hak wanita dan kanak-kanak - Fuziah Salleh



Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said baru-baru ini bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan memberikan kerakyatan kepada anak wanita Malaysia yang mengahwini warga asing merupakan suatu diskriminasi kepada wanita dan kanak-kanak.


Menurut Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh, jawapan Timbalan Menteri itu dalam perbahasan Dewan Rakyat tempoh hari kononnya mahu mengelakkan dwi-kenegaraan dan boleh mengancam keselamatan negara adalah dangkal.


Katanya, alasan itu bertentangan dengan prinsip keadilan serta penegasan prinsip kesaksamaan yang ditegakkan oleh Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang terkait rapat dengan kesaksamaan gender.


"Pendirian kerajaan PN adalah satu bentuk praktis diskriminasi bukan sahaja terhadap wanita Malaysia yang mengahwini rakyat asing tetapi juga kepada anak-anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut.

"Kenyataan tidak bertanggungjawab ini mengabsahkan bahawa PN adalah sebuah kerajaan yang gagal memahami isu asas hak asasi serta menindas hak wanita dan kanak-kanak.

"Kerajaan PN juga ternyata gagal memahami struktur sosial masyarakat yang telah banyak berubah dan sumbangan wanita-wanita ini sama ada mereka belajar, melanjutkan pelajaran, bekerja mahu pun mengikut suami ke luar negara yang memungkinkan anak-anak mereka dilahirkan di luar negara," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Wanita KEADILAN mendesak kerajaan PN menghapuskan dasar diskriminatif yang menindas wanita dan kanak-kanak dengan menyegerakan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin kesaksamaan hak asasi serta menolak semua ketidakadilan berasaskan gender.


Menyentuh mengenai kegagalan Kerajaan PN membahaskan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kuantan itu berkata, hal itu membuktikan PN tidak peduli tentang hak asasi manusia di Malaysia.


"Kos pengoperasian Suhakam yang telah membelanjakan wang rakyat sebanyak RM 13 juta menjadi sia-sia kerana hasil laporan tahunan suruhanjaya itu tidak dapat dibahaskan dalam Dewan Rakyat," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio