top of page

Enam lagi kapal Malaysia dilepaskan berperingkat di Selat Hormuz - Duta Iran

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 7
  • 2 min read
Gambar kapal Malaysia yang dilepaskan Iran bagi melalui Selat Hormuz sebagaimana dimuat naik Kedutaan Iran di Kuala Lumpur di X pada 6 April 2026.
Gambar kapal Malaysia yang dilepaskan Iran bagi melalui Selat Hormuz sebagaimana dimuat naik Kedutaan Iran di Kuala Lumpur di X pada 6 April 2026.

Sebanyak enam kapal milik Malaysia yang masih terkandas di Selat Hormuz dijangka dibenarkan melalui laluan strategik itu secara berperingkat oleh kerajaan Iran.


Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata pihaknya akan memberi laluan kepada kapal-kapal berkenaan satu persatu bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan.


“Kami akan benarkan kapal-kapal itu melalui secara berperingkat,” katanya ketika ditemui di luar sidang Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di ibu negara hari ini, lapor Bernama.


Perkembangan ini menyusul laporan media tempatan semalam menyebut sebuah daripada tujuh kapal Malaysia yang terkandas sebelum ini telah berjaya melepasi Selat Hormuz dan kini dalam perjalanan ke destinasi akhir.


Kedutaan Iran di Kuala Lumpur dalam hantaran di X semalam berkata;" Kami telah mengatakan bahawa Republik Islam Iran tidak akan melupakan rakan-rakannya. Kapal Malaysia yang pertama telah melalui Selat Hormuz."


Memetik laporan media tempatan, data London Stock Exchange Group (LSEG) dan Kpler menunjukkan kapal tangki Ocean Thunder itu melepasi laluan Selat Hormuz.


Pelepasan itu dilakukan selepas Teheran mengesahkan Iraq dikecualikan daripada sekatan sekali gus membuka laluan kepada penghantaran tenaga melibatkan rakan dagang tertentu.


Kapal tersebut dilaporkan memuatkan kira-kira satu juta tong minyak mentah Basrah Heavy pada 2 Mac dan ia dijangka berlabuh di Pengerang, Johor pada bulan ini untuk proses pemunggahan.


Menurut sumber industri, kapal disewa oleh Petco, unit kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) itu merupakan antara tujuh kapal Malaysia yang diberikan kebenaran melalui selat berkenaan.


Kementerian Luar mengesahkan kejayaan itu hasil rundingan diplomatik peringkat tinggi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada 26 Mac lalu sekali gus membuka laluan kepada semua kapal Malaysia untuk meneruskan pelayaran.


Selat Hormuz merupakan laluan penting global yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak mentah dan gas dunia.


Namun laluan itu terganggu sejak 28 Februari susulan serangan berterusan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sekali gus mencetuskan ketegangan serantau.


Gangguan tersebut bukan sahaja menjejaskan laluan perkapalan malah turut menyebabkan kekurangan bekalan bahan api dan lonjakan harga minyak global.


Iran menegaskan hanya kapal dari negara yang tidak dianggap “bermusuhan” akan dibenarkan melalui laluan itu sambil memberi jaminan akan memudahkan perjalanan serta memastikan keselamatan kapal-kapal terbabit.

1 Comment


Eka nurcahya ningsih
Eka nurcahya ningsih
Apr 07

Alhamdulillah, usaha diplomasi kerajaan membuahkan hasil dengan pelepasan kapal-kapal kita, namun sejauh manakah jaminan keselamatan kru kapal sepanjang baki perjalanan mereka di Selat Hormuz? Salam <a href="https://jakarta.telkomuniversity.ac.id/teknologi-anti-kebobolan-masa-depan-cybersecurity-di-indonesia/">Telkom University Jakarta</a>

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page