top of page

Enakmen pentadbiran agama Islam di Selangor diperkukuhkan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 8
  • 1 min read

Dr Rahmi membentangkan pindaan RUU Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025
Dr Rahmi membentangkan pindaan RUU Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025

Kerajaan Negeri Selangor memperkukuh usaha mempertahankan kemurnian pentadbiran agama Islam di negeri itu selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta prinsip Maqasid Syariah.


Pada Isnin, Dewan Negeri Selangor (DNS) sebulat suara meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 bagi memastikan tatakelola pentadbiran Islam negeri kekal terpelihara daripada fahaman ekstrem, liberal atau menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Exco Agama, Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika membentangkan pindaan itu berkata, ia antara lain untuk memperincikan secara jelas kriteria pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jawatankuasa Fatwa, Jawatankuasa Tauliah dan Jawatankuasa Rayuan Tauliah.

"Penekanan kepada pelantikan individu yang benar-benar berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah bukanlah satu bentuk diskriminasi, tetapi keperluan mutlak dalam memastikan pengurusan agama Islam kekal tulen dan tersusun, sejajar dengan konsep hisbah dalam Islam.


"Ia bertujuan memastikan pentadbiran Islam Negeri Selangor sentiasa selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, serta mendukung prinsip Maqasid Syariah khususnya dalam aspek pemeliharaan agama," katanya dipetik.


Selain itu, Dr Fahmi Ngah juga menegaskan bahawa pindaan RUU itu membuktikan iltizam untuk memastikan dasar Islam yang bebas daripada pengaruh luar yang menyeleweng.


Pindaan itu juga tegasnya akan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap ketelusan, kebolehpakaian dan kewibawaan institusi agama apabila pentadbiran dibuat secara konsisten dengan pegangan yang muktabar.


"RUU 2025 ini telah disemak oleh pihak Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dari sudut perundangan dan gubalan.


"Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri melalui surat bertarikh 5 Jun 2025 menyatakan bahawa peruntukan dalam Rang Undang-Undang terbabit adalah teratur," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page