top of page

Empat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor dibuka, elak kesesakan di PUSPAKOM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 16
  • 2 min read

Anthony Loke (dua dari kanan) menyerahkan surat lantikan kepada syarikat terpilih kendalikan PPKM
Anthony Loke (dua dari kanan) menyerahkan surat lantikan kepada syarikat terpilih kendalikan PPKM

Oleh: Helmi Mohd Foad


Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini mengumumkan pelantikan empat syarikat baharu bagi mengendalikan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) khusus untuk menjalankan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan persendirian sebagai langkah mengurangkan kesesakan di PUSPAKOM.


Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, berkata langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kementerian untuk memperluaskan akses perkhidmatan pemeriksaan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju membuka sektor pemeriksaan kenderaan kepada lebih banyak pemain industri yang layak.


"Inisiatif ini dijangka memudahkan orang awam untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan tanpa perlu bersesak di PPKM sedia ada yang turut melaksanakan pemeriksaan berkala kenderaan berat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Loke berkata bagi peringkat permulaan, tujuh syarikat telah ditawarkan untuk melaksanakan perkhidmatan itu di seluruh negara.


Empat daripada tujuh syarikat telah menerima tawaran pelantikan tersebut iaitu Carro Technology Sdn Bhd, Carsome Academy Sdn Bhd, Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.


Menurut Anthony Loke kelulusan diberikan secara bersyarat selama 12 bulan di mana syarikat-syarikat ini perlu memenuhi semua syarat ditetapkan dalam garis panduan yang antaranya termasuk memiliki modal berbayar minimum RM1 juta, menyediakan infrastruktur lengkap serta mendapat kelulusan lokasi daripada MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Beliau turut menjelaskan bahawa langkah ini sejajar dengan dasar kerajaan untuk beralih daripada sistem konsesi tunggal kepada pelesenan berbilang pemain bagi meningkatkan persaingan sihat dan kualiti perkhidmatan pemeriksaan.


"Syarikat yang turut menjalankan aktiviti jual beli kenderaan terpakai pula diwajibkan menyediakan lorong dan kakitangan khas mengikut piawaian ISO/IEC 17020:2012 agar tidak berlaku konflik kepentingan," ujarnya.


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan pemantauan berkala sepanjang tempoh pelaksanaan dan hanya akan mengeluarkan lesen operasi penuh setelah semua syarat dipenuhi.


"Pembukaan lebih banyak PPKM ini penting untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan menyokong sistem pengangkutan negara yang cekap dan berdaya saing," tegas Loke.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page