Empat Pengarah Pendidikan wanita, agenda kesaksamaan gender dilaksana - Sangetha
- Suara Keadilan
- 46 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pelantikan empat Pengarah Pendidikan Negeri wanita dan sembilan daripada 18 Ketua Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang juga wanita menunjukkan komitmen jelas terhadap kesaksamaan gender, keterangkuman institusi dan kepimpinan berasaskan merit dalam tadbir urus KPM dan negara
Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Sangetha Jayakumar (gambar) menyifatkan, langkah itu sejajar dengan aspirasi global di bawah kerangka Sustainable Development Goals (SDG 5: Gender Equality) dan prinsip 'gender-responsive leadership' yang menekankan penglibatan wanita dalam proses membuat keputusan.
Malah katanya, ia bukan sahaja meningkatkan kualiti dasar awam malah memperkukuh ketahanan institusi, keadilan sosial, dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
"Wanita KEADILAN percaya bahawa kepimpinan wanita membawa perspektif holistik, empati dasar dan keupayaan bekerja sebagai satu pasukan yang padu dalam membina ekosistem pendidikan yang progresif, selamat dan melakar satu hala tuju yang jelas.
"Kami juga melihat pencapaian ini sebagai bukti bahawa transformasi struktur tidak berlaku secara kebetulan ia memerlukan keberanian politik (‘political will’), visi yang jelas, serta komitmen berterusan terhadap agenda reformasi dan keadilan sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sangetha berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan KPM atas pencapaian bermakna dalam memperkukuh representasi wanita dalam kepimpinan sektor pendidikan negara.
"Sehubungan itu, Wanita KEADILAN menggesa agar momentum ini diteruskan dan diperluaskan ke semua sektor kepimpinan awam dan politik, agar Malaysia terus melangkah sebagai sebuah negara yang mempraktikkan kepimpinan inklusif, peluang saksama, dan tadbir urus berteraskan nilai kemanusiaan.
"Sesungguhnya, pengalaman ini mengesahkan satu kebenaran penting dalam pembangunan negara apabila wujud kemahuan politik yang tulen, maka jalan penyelesaian sentiasa dapat dibina, bukan sahaja untuk hari ini, tetapi demi masa depan yang lebih adil dan mampan," ujarnya lagi.





