Empat pejuang Tanah Adat Sarawak didakwa menceroboh, dibebaskan mahkamah
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Empat pejuang tanah adat yang sebelum ini didakwa menceroboh ladang sebuah syarikat kelapa sawit di Selangau, akhirnya dibebaskan dan dilepaskan oleh mahkamah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan.
Peguam aktivis tanah adat, Roland Engan yang mewakili keempat-empat pejuang itu berkata, tanah adat Bumiputera mereka telah diduduki oleh syarikat sawit tersebut, dan telah ditanam dengan sawit sejak 20 tahun yang lalu.
Beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, segala usaha rundingan dengan syarikat sawit berkenaan juga telah gagal dilakukan.
"Usaha mereka untuk menghalang pencerobohan ke atas tanah adat berakhir dengan tuduhan bahawa mereka yang menceroboh ladang sawit syarikat tersebut.

"Setelah selesai kes perbicaraan di peringkat pendakwaan, Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan suatu kes prima facie di bawah Selsyen 441 Kanun Keseksaan terhadap empat pejuang tanah adat tersebut," maklum Roland dalam satu kenyataan.
Keempat-empat pejuang tanah adat itu ialah, Lajo Anak Luna, Sallie Anak Manai, Guyang Anak Jala dan Meliging Anak Ganok.
Susulan kejayaan tersebut, keempat-empat pejuang itu menzahirkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan menyokong perjuangan mereka selama ini.
Kes sivil berkaitan pertikaian tanah adat dengan syarikat yang sama pula dijadualkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sibu pada 11 Mei depan.





